Bab 1
Jari Manis · 12 min read
Matahari petang di negeri Perak membias cahaya keemasan, memancar di atas bumbung-bumbung rumah teres dua tingkat di taman perumahan mewah itu. Di unit paling hujung yang bersempadan dengan tanah lapang, sebuah lori muatan lima tan sedang memarkir megah, menghalang sebahagian jalan mati yang sunyi.
Hari itu adalah hari yang bersejarah bagi Azzatul Alana (AA) 29 tahun, permulaan fasa baru sebagai seorang isteri yang baru menikah dengan suaminya 6 bulan lalu, namun dalam suasana yang sedikit hiba kerana terpaksa bakal berjauhan dengan suaminya.
"Hati-hati, bang. Kotak yang itu ada barang dapur, jangan bagi abang lori tu tindih dengan kotak buku Azza," suara lembut Azzatul memecah kesunyian petang.
Azzatul berdiri di muka pintu, menyapu peluh yang merenik di dahi dengan hujung tudung labuhnya yang berwarna ungu lembut.
Walaupun hanya memakai baju kurung kapas yang longgar, aura keanggunannya tetap memancar.
Kacamata yang tersangkut di hidungnya sering kali melongsor ke bawah setiap kali dia menunduk, memaksa dia membetulkannya dengan jari yang tersarung handsock.
Di sebalik fabrik yang serba longgar itu, tersimpan susuk tubuh yang begitu ranum dan terjaga, sebuah rahsia yang hanya Azman berhak meneroka.
Azman 28 tahun, yang sedang mengangkat sebuah kotak besar, berhenti seketika. Dia memandang isterinya dengan senyuman yang penuh kasih. Dia sengaja mengambil cuti seminggu, mahu memastikan segalanya sempurna buat Azzatul sebelum dia terpaksa memacu kenderaan pulang ke Pahang untuk menyambung tugasnya sebagai guru di sana.
"Iyee sayang... Abang tahu. Azza masuklah dalam dulu, panas ni. Biar abang dengan budak-budak lori ni selesaikan yang berat-berat," balas Azman.
Azzatul mendekati suaminya, lalu mencapai hujung lengan baju Azman yang sudah lencun dengan peluh.
"Abang tu yang kena rehat. Dari pagi tadi tak berhenti. Azza risau tengok abang penat macam ni. Nanti kalau abang sakit, siapa nak manjakan Azza?" bisik Azzatul dengan nada manja yang hanya dikhaskan buat telinga suaminya, jauh dari imej garangnya di sekolah.
Azman tertawa kecil, mencuit hidung isterinya yang kemerahan akibat bahang matahari.
"Manjanya dia... Okey, lepas ni kita rehat ya? Abang janji." Azman berseloroh.
Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Suasana taman yang tadinya sunyi mula terisi dengan bunyi enjin kereta jiran-jiran yang pulang dari pejabat.
Sebuah kereta pacuan 4 roda jenis Ford berwarna gelap perlahan-lahan masuk ke petak parkir rumah sebelah, rumah yang kedudukannya paling hampir dengan rumah Azzatul.
Seorang lelaki bertubuh tegap, berkemeja pejabat yang lengannya sudah dilipat hingga ke siku, keluar dari kereta. Itulah Amir 30 tahun.
Langkahnya terhenti apabila melihat kesibukan di rumah hujung yang selama ini kosong. Matanya tertancap pada susuk tubuh seorang wanita bertudung labuh yang sedang berbual mesra dengan seorang lelaki.
Amir terpaku. Dari jauh, dia dapat melihat wajah Azzatul yang bersih tanpa seurat solekan, namun memiliki daya tarikan yang luar biasa maskulin.
Kelihatannya seperti seorang ustazah, fikir Amir. Sangat sopan, sangat terjaga, namun ada sesuatu pada raut wajah yang tegas itu yang membuatkan jantung Amir berdegup di luar rentak biasa.
Kecantikan Azzatul yang bersifat kecantikan asli itu justru membakar rasa ingin tahunya.
"Assalamualaikum," sapa Amir dengan nada suara yang dalam dan maskulin, sambil melangkah menghampiri pagar rendah yang memisahkan rumah mereka.
Azman yang sedang mengelap peluh segera berpaling.
"Waalaikumussalam. Eh, jiran sebelah ya?"
"Ya, saya Amir. Tinggal seorang di sebelah ni. Baru pindah ke?" Amir menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Azman, namun matanya sempat melirik ke arah Azzatul yang secara automatik menundukkan pandangan, membetulkan kacamata, dan berganjak sedikit ke belakang suaminya demi menjaga batas.
"Saya Azman. Ha'ah, baru hari ni pindah masuk barang. Ini isteri saya, Azzatul. Dia mengajar dekat sekolah kawasan sini, jadi saya belikan rumah ni untuk dia duduk. Saya sendiri kerja dekat Pahang," jelas Azman dengan jujur.
Amir mengangguk-angguk, otaknya ligat memproses maklumat yang sangat berharga. Isteri orang. Tinggal seorang. Suami jauh. Amir sedikit hampa mengetahui Azzatul adalah isteri orang.
"Oh, orang jauh rupanya. Jangan risau encik Azman, kawasan ni selamat. Kalau ada apa-apa masalah, boleh panggil saya dekat sebelah. Saya kerja dekat-dekat sini je, balik pun biasanya waktu macam ni lah," kata Amir sambil melemparkan senyuman yang tampak ikhlas.
"Terima kasih, Amir. Lega hati saya dengar. Sekurang-kurangnya ada juga jiran yang boleh tolong tengok-tengokkan isteri saya ni nanti," balas Azman mesra, tidak menyedari dia baru sahaja membuka pintu kepada serigala yang bakal mendatangi kambingnya.
Azzatul hanya mengangguk kecil sebagai tanda hormat. Dia tetap dengan watak garang dan sombongnya terhadap lelaki asing, namun dia tidak tahu bahawa kedinginan itulah yang membuatkan Amir semakin tertawan.
Sepanjang seminggu itu, Azman benar-benar memanjakan Azzatul. Setiap sudut rumah dipastikan sempurna. Azzatul pula membalas setiap keringat suami dengan layanan yang tiada tandingannya.
"Abang, tengok ni... Azza masak asam pedas kegemaran abang. Makanlah banyak-banyak, lepas ni dah tak dapat nak rasa masakan Azza hari-hari," kata Azzatul sambil menyenduk nasi ke pinggan Azman.
Mereka duduk bersila di lantai ruang tamu yang masih dipenuhi beberapa kotak yang belum dibuka. Suasana begitu romantis, hanya ditemani bunyi kipas berpusing.
Azzatul sering kali menyuapkan makanan ke mulut Azman, dan Azman pula akan memuji betapa beruntungnya dia memiliki isteri sesolehah Azzatul.
"Azza kena jaga diri tau bila abang tak ada. Pintu kunci sentiasa. Kalau ada orang tak dikenali ketuk, jangan buka," pesan Azman dengan nada serius.
Azzatul tersenyum manja, menyandarkan kepalanya ke bahu Azman yang bidang.
"Abang ni... Azza tahulah jaga diri. Lagipun Azza kan garang? Orang tengok muka Azza pun dah takut nak dekat. Abang seorang saja yang berani dengan Azza." Seloroh Azzatul.
Mereka ketawa bersama, tidak menyedari bahawa di sebalik dinding rumah sebelah, Amir sering kali berdiri di balkoni bilik atasnya, cuba menangkap butir bicara atau tawa halus wanita yang telah menghantui mimpinya sejak hari pertama.
Hari ketujuh tiba. Azman perlu berangkat pulang ke Pahang.
Di hadapan rumah, Azzatul menyalam dan mencium tangan suaminya lama, menghirup aroma tubuh suaminya buat bekalan rindu seminggu mendatang.
"Abang balik dulu ya, sayang. Hujung minggu nanti abang datang lagi," bisik Azman sambil mencium dahi Azzatul.
"Hati-hati bawa kereta, bang. Azza tunggu abang kat sini," balas Azzatul dengan mata yang berkaca.
Sebaik sahaja kereta Azman hilang dari pandangan, kesunyian yang tebal mula menyelimuti rumah itu. Azzatul berpaling untuk masuk, namun matanya bertembung dengan Amir yang sedang berdiri di halaman sebelah, memerhatikannya dengan pandangan yang tajam dan dalam.
Amir tidak berkata apa-apa, hanya sebaris senyuman tipis yang penuh misteri.
Azzatul segera melarikan pandangan dan masuk ke dalam, mengunci pintu rapat-rapat. Dia tidak sedar, bahawa di bawah lindungan kegelapan malam nanti, kesetiaannya bakal diuji oleh jiran yang baru sahaja dipuji suaminya.
Isnin pagi itu tiba dengan kedinginan yang menusuk hingga ke tulang. Bagi Azzatul Alana, loceng jam penggera pada pukul 5.30 pagi adalah permulaan jihadnya.
Sebagai seorang pendidik dan juga isteri, rutinnya bermula dengan sujud kepada Yang Maha Esa sebelum menyiapkan dirinya untuk melangkah ke medan ilmu.
Rumah dua tingkat itu terasa sangat luas dan sunyi tanpa kehadiran suaminya, Azman. Biasanya, ada suara suami yang mengusik atau bunyi tawa kecil saat mereka bersarapan bersama.
Kini, yang tinggal hanyalah gema langkah kakinya sendiri di atas lantai jubin yang sejuk.
Tepat jam 6.45 pagi, Azzatul sudah siap berpakaian lengkap. Jubah berwarna biru gelap yang longgar dipadankan dengan tudung labuh material krep berwarna senada.
Kacamata bingkai nipisnya dibersihkan rapi, dan handsock hitam tersarung kemas menutupi pergelangan tangannya. Dia memandang cermin seketika, imej seorang ustazah yang berwibawa, tegas, dan tidak boleh dipandang remeh.
Namun, di sebalik imej itu, jantungnya sedikit berdebar. Ini adalah hari pertamanya memandu sendirian dari rumah baru ini ke sekolah yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan.
Kereta Perodua Axia berwarna putih miliknya sudah sedia menanti di bawah porch.
Di sebelah rumah, Amir sudah lama terjaga. Sebenarnya, dia hampir tidak dapat melelapkan mata dengan nyenyak sejak seminggu yang lalu.
Bayangan Azzatul yang menyandarkan kepala ke bahu Azman pada petang kelmarin masih segar dalam ingatannya, mencetuskan rasa cemburu yang pelik sekaligus keinginan yang membuak-buak.
Amir berdiri di sebalik langsir bilik atasnya, memerhatikan Azzatul yang sedang mengunci pintu rumah. Dari sudut itu, dia dapat melihat lekuk tubuh Azzatul yang terlindung dek jubah luas setiap kali wanita itu membongkok sedikit.
"Cantik... Terlalu cantik untuk dibiarkan sendirian," bisik Amir sendirian.
Dia segera turun ke bawah, mencapai kunci kereta pacuan empat rodanya dan berpura-pura mahu berangkat kerja pada waktu yang sama.
Sebaik sahaja Azzatul membuka pintu pagar automatik, Amir sudah pun berada di halamannya sendiri.
"Assalamualaikum, Ustazah! Awal gerak hari ni," sapa Amir dengan suara yang sengaja diceriakan. Dia berdiri di tepi pagar, mengenakan kemeja biru muda yang menyerlahkan bentuk bahunya yang sasa.
Azzatul yang sedang meletakkan beg tangan di kerusi penumpang sebelah, tersentak kecil. Dia berpaling, namun pandangannya tetap difokuskan pada stereng kereta, bukan pada wajah Amir.
"Waalaikumussalam. Ya, nak ke sekolah," jawab Azzatul ringkas.
Suaranya datar, tanpa sebarang emosi. Dia tidak menoleh, apatah lagi tersenyum.
"Hati-hati memandu, Ustazah. Jalan ke arah sekolah tu biasanya sesak sikit dekat simpang depan," Amir cuba memancing perbualan, matanya tidak lepas memandang wajah ayu itu dari sisi.
Azzatul hanya mengangguk sekali, tanda hormat yang paling minimum sebelum memboloskan diri ke dalam Axia putihnya. Enjin dihidupkan, dan tanpa membuang masa, dia terus mengundur keluar.
Amir hanya mampu berdiri kaku, menghantar pemergian kereta kecil itu dengan pandangan yang sarat dengan debaran.
Jantungnya berdegup kencang. Baginya, kedinginan Azzatul bukanlah satu penolakan, tetapi satu cabaran.
Setiap kali Azzatul tidak melayannya, setiap kali itulah keinginan Amir untuk mengorat ustazah itu menjadi semakin membuak-buak.
Sepanjang pemanduan 30 minit itu, fikiran Azzatul sedikit terganggu. Bukan kerana dia berminat dengan Amir, tetapi kerana dia merasa rimas dengan perhatian yang diberikan oleh jiran sebelahnya itu.
Sepanjang seminggu Azman ada di sini, Amir sering mencari alasan untuk menyapa. Walaupun suaminya menganggap Amir seorang jiran yang baik, naluri kewanitaan Azzatul berkata sebaliknya.
Ada sesuatu pada renungan mata Amir yang membuatkan dia rasa tidak selesa, seperti ada api yang sedang marak di balik ketenangan wajah lelaki itu.
"Astaghfirullahalazim... Fokus, Azza. Kamu tu isteri orang," bisiknya pada diri sendiri sambil membetulkan kacamata yang sedikit melongsor.
Azzatul cuba mengalih perhatian dengan memasang radio yang memutarkan bacaan ayat suci Al-Quran. Namun, bayangan senyuman manis Amir di tepi pagar tadi seolah-olah melekat di ruang matanya.
Azzatul mengetatkan pegangan pada stereng. Dia tahu dia cantik, dia tahu ramai lelaki yang memandangnya sebelum ini, namun dia sentiasa berjaya membina tembok yang tinggi.
Cuma kali ini, tembok itu terpaksa berhadapan dengan jiran yang hanya berjarak beberapa meter dari katil tidurnya setiap malam.
Petang itu, jam 5.00 petang, Azzatul pulang dengan keletihan yang amat sangat. Menguruskan pelajar sekolah menengah benar-benar menguji kesabarannya. Sebaik sahaja dia memarkir kereta, dia melihat Amir juga baru sampai.
Amir keluar dari keretanya dengan wajah yang segar, seolah-olah tidak penat bekerja seharian sebagai jurutera.
"Ustazah! Macam mana hari pertama? Penat?" Amir bertanya lagi, kali ini dia melangkah lebih dekat ke pagar pemisah.
Azzatul yang sedang menjinjing beg sekolah dan bungkusan makanan, hanya menjawab sambil berjalan masuk ke pintu rumah.
"Alhamdulillah, semuanya baik. Maaf, saya masuk dulu. Banyak kerja nak kena tanda." Azzatul cuba mengelak dari berbual lebih panjang.
"Ustazah!" panggil Amir lagi. Azzatul terhenti, namun tidak berpaling.
"Saya ada belikan kuih lebih tadi dekat gerai depan. Kalau Ustazah tak keberatan, saya sangkutkan dekat pagar ya? Rezeki jiran," kata Amir dengan nada yang sangat lembut, hampir seperti merayu.
Azzatul terdiam sejenak. Jika dia menolak terlalu keras, nanti dikata sombong dan tidak menjaga hubungan berjiran yang ditekankan dalam Islam.
Tapi jika dia terima, dia bimbang Amir akan mengambil kesempatan.
"Terima kasih. Letaklah situ. Assalamualaikum," jawab Azzatul akhirnya sebelum segera masuk dan mengunci pintu.
Di luar, Amir tersenyum lebar. Walaupun perbualan mereka tidak sampai seminit, dan walaupun Azzatul tidak memandangnya, Amir merasa satu kebahagian dihatinya.
Amir tahu, sedikit demi sedikit, dia akan merobohkan benteng 'Ustazah' itu. Dia hanya perlukan masa, kesabaran, dan peluang di kala Azman tidak ada di sisi.
Malam itu, Azzatul makan kuih pemberian Amir sambil bervideo call dengan Azman. Ada rasa bersalah yang mencubit tangkai hatinya, namun dia menepisnya dengan alasan "hanya sekadar jiran".
Azzatul tidak tahu, bahawa kuih itu adalah langkah pertama Amir untuk masuk ke dalam hidupnya yang selama ini suci dan terjaga.
**
Selasa pagi menyambut dengan suasana yang tidak jauh berbeza. Embun masih berbekas pada dedaunan di halaman rumah, dan Azzatul Alana sudah pun memulakan harinya dengan penuh disiplin.
Namun, ada sedikit perubahan pada rentak hatinya. Setiap kali dia melangkah keluar ke beranda, matanya secara tidak sengaja akan mengerling ke arah rumah sebelah. Bukan kerana rindu, tetapi kerana waspada.
Azzatul sedar, Amir bukan sekadar jiran yang peramah. Lelaki itu memiliki sepasang mata yang bercerita tentang keinginan. Sebagai seorang wanita yang sering mendalami ilmu agama, Azzatul tahu tentang fitnah pandangan. Dia tahu bahawa syaitan itu tidak datang dengan tanduk, tetapi sering kali datang dengan senyuman manis dan bantuan yang nampak ikhlas.
Tepat jam 6.50 pagi, Azzatul melangkah keluar. Dia mengenakan baju kurung Pahang berwarna hijau lumut, dipadankan dengan tudung labuh hitam.
Azzatul kelihatan sangat anggun namun cukup berwibawa.
Amir sudah sedia menunggu. Dia berpura-pura sedang memeriksa tekanan tayar keretanya di halaman rumah.
Sebaik sahaja dia mendengar bunyi pintu rumah Azzatul dikunci, Amir segera berdiri tegak. Dia mengenakan kemeja kelabu yang kemas, mempamerkan imej profesional seorang jurutera yang berjaya.
"Assalamualaikum, Ustazah Azzatul Alana," sapa Amir.
Kali ini dia menggunakan nama penuh wanita itu, seolah-olah mahu menunjukkan bahawa dia telah menghafal setiap butiran tentang jirannya.
Azzatul yang sedang berjalan ke arah Axia putihnya, hanya mengangguk sedikit tanpa menghentikan langkah.
"Waalaikumsalam."
"Awal hari ni. Ada perhimpunan ke?" Amir mencuba lagi, langkahnya mendekati pagar pemisah yang hanya setinggi dada.
Azzatul membuka pintu kereta, meletakkan begnya di dalam.
"Tak ada. Cuma nak sampai awal sikit."
"Oh, faham. Eh, Ustazah... pasal kuih semalam, okey tak? Manis sangat ke? Kalau Ustazah suka, petang ni saya boleh belikan lagi. Ada satu gerai ni memang terkenal dengan karipap pusingnya," Amir terus bersikap peramah. Dia cuba membina jambatan komunikasi melalui perkara-perkara kecil.
Azzatul akhirnya berpaling sedikit, namun matanya tetap tertuju pada cermin sisi kereta.
"Terima kasih, Encik Amir. Tapi tak payahlah susah-susah. Saya pun jarang makan petang. Lagipun, tak manis kalau jiran selalu sangat menghantar barang bila suami saya tak ada." Azzatul cuba menolak pemberian Amir dengan nada tegas.
Satu das tembakan tepat ke arah Amir. Azzatul sengaja menekankan perkataan 'suami' untuk mengingatkan Amir tentang batas yang ada.
Amir tersenyum nipis. Dia tidak terasa hati, malah dia semakin tertarik dengan ketegasan itu.
"Saya cuma niat nak berjiran, Ustazah. Encik Azman pun dah pesan supaya saya tengok-tengokkan Ustazah. Takkanlah bagi makanan pun salah?" Amir berpura sedikit kecewa.
Azzatul tidak menjawab. Dia terus memboloskan diri ke dalam kereta, menghidupkan enjin, dan berlalu pergi tanpa menoleh lagi.
Di dalam kereta, nafasnya turun naik. Dia benci dengan cara Amir memetik nama Azman seolah-olah mendapat lesen untuk mendekatinya.
Amir memerhatikan kereta Axia itu sehingga hilang dari pandangan. Dia meraup wajahnya sambil tersenyum sendirian.
"Garang betul ustazah ni. Tapi tak apa... mawar yang paling banyak duri itulah yang paling harum baunya."
Bagi Amir, cinta dan keinginan itu tidak mengenal sempadan. Dia tahu apa yang dia mahu. Dia mahu melihat Ustazah Azzatul Alana yang sombong dan alim itu tunduk dalam dakapan cintanya.
Amir mahu merasai kehangatan yang selama ini hanya dirasai oleh Azman.
Setiap kali Azzatul menolaknya, ego maskulin Amir semakin tercabar untuk membuktikan bahawa dia boleh mencairkan dan memberi cinta sepenuh hati kepada Azzatul.
Petang itu, Amir pulang lebih awal. Dia sengaja menunggu di beranda rumahnya sambil membaca majalah, namun matanya sentiasa melirik ke arah jalan masuk taman.
Apabila Axia putih Azzatul kelihatan, Amir segera berdiri. Azzatul keluar dari kereta dengan wajah yang kepenatan.
Beg sekolah yang berat digalas di bahu, menampakkan sedikit bentuk bahunya yang kecil namun tegap di bawah jubah hijau itu.
"Ustazah, nampak letih sangat tu. Nak saya tolong angkatkan beg?" Amir menyapa dengan nada prihatin.
Azzatul hanya mengangkat tangan kanannya sebagai tanda 'tidak perlu'. Dia terus melangkah masuk ke rumah, mengunci pintu dan menutup langsir rapat-rapat.
Malam itu, Azzatul duduk di meja makan, menghadap tumpukan buku latihan pelajarnya. Dia cuba fokus, namun fikirannya melayang kepada Azman.
Azzatul segera mencapai telefon dan membuat panggilan video.
"Abang... Azza rindu," luahnya sebaik sahaja wajah Azman muncul.
"Abang pun rindu, sayang. Macam mana kat sana? Jiran sebelah tu, Amir ada tolong apa-apa tak?" tanya Azman tanpa rasa sangsi.
Azzatul terdiam sejenak.
"Dia... dia ada tegur-tegur macam tu je. Tapi Azza tak layan sangat pun, bang. Azza rasa tak selesa." Luah Azzatul.
Azman tertawa di hujung talian.
"Biasalah tu, Azza kan cantik. Tapi Abang percaya Azza pandai jaga diri kan."
Azzatul hanya mampu mengeluh kecil.
"Yelah... abang bila nak balik sini?" Tanya Azzatul yang sememangnya sudah tahu jadual kepulangan suaminya.
"Hujung minggu ni abang balik ya? Sabar sikit lagi."
Mereka berbual melepaskan rindu masing-masing. Mereka berdua yang baru melangsungkan perkahwinan 6 bulan lalu terpaksa melalui perhubungan jarak jauh akibat kekangan kerja masing-masing.
Selepas panggilan tamat, Azzatul menutup mukanya dengan kedua-dua belah tangan. Dia rasa tertekan dan sunyi. Dia merindui suaminya.
Azzatul tidak tahu bahawa di luar sana, dalam kegelapan malam, Amir yang sedang merokok di halaman rumahnya, sedang melayan perasaan rindu terhadap jirannya sendiri, Azzatul.
Amir membayangkan apa yang sedang dilakukan ustazah itu di dalam sana, dan betapa nikmat bahagianya jika dia yang berada di tempat Azman sekarang.
Show 0 comments
Log in to join the conversation.
- No comments yet. Be the first.