Skip to content
Ustazah AA
Chapter6

Bab 6

Jari Manis · 12 min read

Rabu pagi. Udara terasa lebih lembap daripada biasa selepas hujan renyai yang turun pada awal pagi. Di dalam rumah, Azzatul Alana sudah siap berpakaian jubah berwarna kelabu asap dengan tudung labuh berwarna hitam. Dia berdiri di hadapan cermin, merenung wajahnya yang sedikit sembap.

Kesunyian malam tadi, luahan rindu di status WhatsApp, dan debaran yang tak kunjung padam membuatkan tidurnya tidak berapa lena.

Tepat jam 6.30 pagi, telefonnya bergetar.

Amir Jiran: "Assalamualaikum, Azza. Saya dah sedia kat luar. Ambil masa awak, saya tunggu."

Azzatul menarik nafas panjang. Panggilan "Azza" itu terasa semakin biasa di matanya, walaupun di dalam hati dia masih berperang dengan rasa tidak selesa. Dia segera membalas dengan ringkas,

"Waalaikumussalam. Kejap."

Langkahnya diatur keluar. Ford Ranger hitam itu sudah pun menunggu, lampu kecilnya membelah kabus pagi.

Sebaik sahaja Azzatul menghampiri, pintu dibuka dari dalam. Wangian maskulin Amir kembali menyambutnya, satu bauan yang mula menjadi rutin dalam paru-parunya.

"Pagi, Ustazah. Nampak macam tak cukup tidur je? Rindu suami ya?" usik Amir sebaik sahaja Azzatul melabuhkan punggung di kerusi penumpang.

Azzatul menjeling tajam, namun ada sedikit senyuman yang tersembunyi.

"Encik Amir ni, pagi-pagi dah nak mengusik. Saya letih tanda buku semalam. Bukan sebab lain." Tegas Azzatul.

Amir ketawa kecil, suaranya garau dan menenangkan.

"Yelah tu. Jom, kita gerak."


Sesi persekolahan berlalu dengan pantas bagi Azzatul. Kesibukannya sebagai Ustazah membuatkan dia hampir terlupa tentang temu janjinya pada pukul 2.15 petang.

Namun, tepat pada waktunya, Amir sudah pun terpacak di hadapan pintu gerbang sekolah.

Kali ini, suasana di dalam kereta terasa sedikit berbeza. Amir nampak lebih santai, kemeja kerjanya dibuka butang paling atas, menampakkan lehernya yang sasa.

"Ustazah, sebelum kita balik rumah, saya nak minta tolong sikit boleh tak?" tanya Amir sambil memandu perlahan keluar dari kawasan sekolah.

"Tolong apa tu, Encik Amir?"

"Saya nak singgah pasaraya sekejap kat depan tu. Barang dapur kat rumah saya dah habis. Maggi, telur, kopi... semua dah kosong. Ustazah temankan saya sekejap boleh?" Pinta Amir dengan nada memujuk.

Azzatul tersentak. Dia memandang Amir dengan riak wajah yang tegas.

"Eh, tak boleh, Encik Amir! Tak manis kalau orang tengok. Lagipun saya nak balik cepat, banyak kerja nak buat kat rumah." Dengan suara yang tegas.

"Kejap je, Ustazah. Tak sampai 15 minit pun. Saya bukannya nak ajak Ustazah pusing satu pasaraya tu. Saya cuma nak orang tolong pilihkan barang yang elok sikit. Saya ni lelaki, kadang-kadang main ambil je barang yang dah nak expired," pujuk Amir dengan nada yang sangat rendah, seolah-olah merayu.

"Tak boleh, Encik Amir. Saya tetap dengan keputusan saya. Hantar saya balik sekarang," kata Azzatul dengan nada ustazah yang paling tegas.

Amir tidak berputus asa. Dia memperlahankan kenderaan dan memandang Azzatul sekilas.

"Ustazah, saya dah dua hari hantar dan jemput Ustazah. Saya tak minta bayaran pun, kan? Saya cuma minta temankan saya beli barang dapur 15 minit je. Takkanlah itu pun Ustazah tak boleh nak tolong jiran sendiri?" Azzatul terdiam. Rasa bersalah mula menghimpit tangkai hatinya.

Benar, Amir telah banyak berbakti kepadanya sejak kereta Axianya masuk bengkel. Menolak permintaan sekecil itu terasa seperti dia seorang yang tidak mengenang budi.

"Tapi... kalau ada orang nampak macam mana? Saya ni guru kat sekolah ni, Encik Amir. Ramai pelajar dan ibu bapa kat kawasan ni," Azzatul mula goyah.

"Pasaraya tu besar, Ustazah. Tak ada sesiapa pun yang akan perasan. Kita masuk cara jiran, kita keluar cara jiran. Lagipun, kalau Ustazah rasa segan, Ustazah boleh tolong tengokkan dari jauh je. Boleh ya?" Amir memberikan senyuman yang paling manis, sejenis senyuman yang jarang sekali dapat ditolak oleh mana-mana wanita.

Azzatul melepaskan keluhan berat. Dia membetulkan tudung labuhnya.

"Yelah... tapi janji, sekejap saja." Azzatul akhirnya mengalah.

"Janji! Terima kasih, Ustazah," balas Amir, hatinya berbunga riang.

Amir tahu, setiap kali Azzatul berkata 'ya' selepas menolak, itu tandanya benteng pertahanan wanita itu semakin rapuh.

Mereka sampai di sebuah pasaraya besar. Azzatul melangkah keluar dari kereta dengan perasaan yang sangat gelisah. Dia menarik tudungnya ke hadapan sedikit, seolah-olah mahu menyembunyikan wajahnya.

Amir pula berjalan di sisi Azzatul, namun mengekalkan jarak yang sopan.

Di dalam pasaraya, Amir mencapai sebuah troli. Dia mula bergerak ke bahagian barangan kering.

"Ustazah, rasa-rasanya beras jenama mana yang sedap? Saya selalu beli yang ni, tapi rasa dia macam keras sikit," tanya Amir sambil menunjuk ke arah satu kampit beras.

Azzatul, yang secara semula jadinya adalah seorang suri rumah yang teliti, mula hilang rasa segan apabila menyentuh bab pengurusan dapur.

"Beras tu memang keras kalau tak pandai sukat air. Ambil yang ni, wangi dan lembut sikit. Sesuai untuk orang bujang macam Encik Amir." Azzatul mula memberikan tunjuk ajar tentang barang-barang dapur.

Azzatul tanpa sedar mula berjalan beriringan dengan Amir, menunjukkan jenama minyak masak yang lebih sihat dan telur yang masih segar.

Amir hanya mendengar dengan penuh minat, namun matanya lebih banyak tertumpu pada wajah Azzatul yang nampak bersemangat bercerita.

"Ustazah ni... kalau bab dapur memang pakar ya? Untung Encik Azman. Dah la cantik, pandai mengajar, pandai jaga dapur pula tu," puji Amir secara spontan.

Azzatul terhenti seketika. Dia memandang Amir dengan wajah yang kembali serius.

"Encik Amir, saya ingatkan lagi sekali. Jangan puji saya macam tu. Saya buat semua ni sebab saya isteri orang. Tanggungjawab saya untuk tahu semua ni." Azzatul kembali tegas nadanya.

Amir ketawa kecil.

"Ya, saya tahu. Saya cuma puji bakat Ustazah. Salah ke?"

"Salah kalau niatnya lain," balas Azzatul tegas.

Namun, di sebalik ketegasan itu, Azzatul tidak dapat menafikan bahawa dia merasa dihargai.

Berbelanja bersama lelaki yang memberikan perhatian penuh pada setiap kata-katanya memberikan satu sensasi yang berbeza.

Sedang mereka asyik memilih sabun pencuci pinggan, tiba-tiba satu suara menyapa dari arah belakang.

"Eh, Ustazah Azzatul?"

Azzatul tersentak hebat. Dia berpaling dan melihat seorang wanita separuh umur yang merupakan salah seorang ibu kepada pelajarnya di sekolah.

Jantung Azzatul terasa mahu luruh ke lantai.

"Eh, Puan Salmah... buat apa kat sini?" tanya Azzatul, suaranya sedikit bergetar.

Mata Puan Salmah beralih kepada Amir yang berdiri di sebelah troli penuh barang.

"Beli barang dapur ke Ustazah? Ini siapa? Abang Ustazah ke?"

Azzatul tergamam. Dia tidak tahu mahu menjawab apa. Namun, sebelum sempat dia membuka mulut, Amir melangkah ke hadapan dengan tenang.

"Saya Amir, jiran Ustazah. Kereta Ustazah rosak, jadi saya tumpangkan dia beli barang dapur sekali alang-alang saya nak beli barang rumah saya. Kasihan pula tengok Ustazah susah nak bergerak," jawab Amir dengan nada yang sangat meyakinkan dan wajah yang jujur.

Puan Salmah mengangguk-angguk.

"Ooh, jiran rupanya. Baguslah macam tu. Zaman sekarang ni memang kena tolong-menolong. Ustazah, saya pergi dulu ya? Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam..." jawab Azzatul perlahan.

Sebaik sahaja Puan Salmah hilang dari pandangan, Azzatul segera berpaling ke arah Amir. Wajahnya nampak sangat marah dan cemas.

"Tengok! Kan saya dah cakap! Dah ada orang nampak! Lepas ni mesti dia cerita kat orang lain!"

Amir tetap tenang. Dia mendekati Azzatul, suaranya sangat rendah dan lembut.

"Ustazah, relaks. Saya dah jelaskan keadaan yang betul, kan? Kita tak buat apa-apa yang salah. Kita cuma beli barang dapur. Jangan biarkan ketakutan Ustazah tu memakan diri sendiri."

Azzatul meraup wajahnya. Dia merasa sangat lemah. Dia mahu segera pulang.

"Dah lah, jom balik. Saya dah tak nak lama-lama kat sini."

Amir mengangguk. Dia tahu dia sudah membawa Azzatul ke satu tahap tekanan yang akan membuatkan wanita itu lebih bergantung kepadanya nanti.


Di dalam perjalanan pulang, Azzatul hanya diam membisu, namun tangannya meramas-ramas hujung tudungnya dengan kuat.

Dia tidak tahu, bahawa peristiwa di pasaraya itu akan menjadi tajuk utama dalam perbualan mereka di dalam kereta esok pagi, dan ia akan merapatkan lagi hubungan yang sepatutnya tidak pernah bermula itu.

Suasana di dalam Ford Ranger itu menjadi sunyi sepi selepas kejadian di pasar raya tadi.

Azzatul Alana hanya memandang kosong ke luar tingkap, memerhatikan deretan pokok yang berlalu pantas.

Di dalam fikirannya, wajah Puan Salmah silih berganti dengan wajah suaminya, Azman. Ada rasa berdosa yang mula berdenyut di tangkai hati.

Walaupun dia tidak melakukan maksiat, namun berdua-duaan dengan Amir di tempat awam terasa seperti satu pengkhianatan halus terhadap kepercayaan Azman.

Amir yang menyedari kedinginan itu, tidak terus menghantar Azzatul pulang. Dia sengaja memperlahankan kenderaan, mengambil laluan yang sedikit jauh merentasi kawasan pinggir taman yang lebih redup dengan pohon-pohon besar.

"Ustazah masih marahkan saya?" tanya Amir memecah kesunyian.

Suaranya rendah, kedengaran sangat tenang dan matang.

Azzatul tidak menoleh.

"Saya tak marah, Encik Amir. Saya cuma... saya takut. Saya ni seorang ustazah, seorang pendidik. Maruah saya bukan milik saya seorang, tapi milik suami saya dan institusi tempat saya mengajar. Kalau Puan Salmah salah faham, apa akan jadi pada kerjaya saya?" Luah Azzatul.

Amir mengeluh perlahan. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan yang sunyi, jauh daripada pandangan orang ramai. Dia memusingkan badannya sedikit menghadap Azzatul.

"Azza, pandang saya sekejap," pinta Amir.

Azzatul teragak-agak, namun akhirnya dia berpaling. Di ruang yang sempit itu, mata mereka bertembung. Amir melihat ada takungan air jernih di kelopak mata Azzatul.

Hatinya tersentuh, namun pada masa yang sama, naluri kelakian semakin membuak.

"Saya minta maaf. Niat saya cuma nak mudahkan urusan Ustazah. Saya tak sangka kita akan jumpa sesiapa tadi. Tapi ustazah kena ingat, saya ada untuk jaga ustazah. Kalau Puan Salmah atau sesiapa pun bercakap buruk, saya sendiri yang akan tampil jelaskan semuanya. Saya takkan biarkan nama ustazah tercalar," kata Amir dengan nada yang sangat meyakinkan.

Azzatul menunduk.

"Encik Amir tak faham... Encik Amir lelaki bujang. Encik Amir takkan faham beban yang saya pikul sebagai isteri orang." Nada Azzatul bergetar seperti hendak menangis.

"Saya mungkin tak faham status itu, tapi saya faham perasaan awak, Azza. Saya faham ustazah sunyi. Saya faham ustazah perlukan seseorang yang boleh diharapkan di sini, sekarang." balas Amir berani.

Azzatul terdiam. Kata-kata Amir itu bagaikan sembilu yang menghiris hatinya. Benar, dia sunyi. Benar, dia perlukan perlindungan fizikal. Namun, akalnya masih kuat menjerit tentang dosa dan pahala.

"Hantar saya balik, Encik Amir. Tolonglah," rintih Azzatul perlahan.

Amir tidak membantah. Dia menghidupkan semula enjin dan memacu pulang.

Sepanjang perjalanan yang berbaki, Amir tidak lagi mengusik. Dia memberikan ruang untuk Azzatul bertenang. Namun, sebelum Azzatul turun dari kereta di hadapan rumahnya, Amir sempat berkata sesuatu yang membuatkan langkah Azzatul terhenti.

"Azza, malam ni jangan fikir pasal Puan Salmah. Fikir pasal diri awak sendiri. Rehatlah. Awak dah buat yang terbaik hari ni."

Azzatul terus meluru masuk ke dalam rumah tanpa menjawab. Dia mengunci pintu dan terus terduduk di atas lantai ruang tamu.

Air matanya luruh juga. Dia menangis bukan kerana sedih, tetapi kerana dia mula merasa takut dengan dirinya sendiri. Dia takut kerana dia mula merasa selesa dengan kehadiran Amir. Dia takut kerana pujian Amir mula terasa lebih manis.


Malam itu, Azzatul cuba menyibukkan diri dengan kerja-kerja sekolah. Dia tidak mahu otaknya mempunyai ruang untuk memikirkan Amir.

Namun, sekitar jam 10 malam, telefonnya bergetar di atas meja. Satu mesej WhatsApp daripada Amir.

Amir Jiran: "Dah tidur? Saya cuma nak pastikan ustazah okey. Saya ada belikan sedikit ubat sapu untuk kaki ustazah yang lenguh tadi. Saya sangkut kat pagar. jangan lupa ambil."

Azzatul memandang skrin itu lama. Dia tidak membalas. Dia teringat kembali bagaimana Amir memerhatikan dia yang sedikit terhinjut-hinjut di pasar raya tadi akibat terlalu lama berdiri di sekolah.

Amir perasan. Amir sentiasa perasan butiran kecil tentang dirinya yang Azman sendiri pun kadang-kadang terlepas pandang dalam perbualan telefon mereka.

Dia melangkah ke tingkap bilik atas, menyelak sedikit langsir. Dia melihat Amir sedang berdiri di halaman rumahnya sendiri, sedang menghisap rokok sambil memandang ke arah tingkap bilik Azzatul.

Dalam kegelapan malam, hanya bara merah rokok itu yang kelihatan. Azzatul segera menutup langsir. Dia mencapai bantal peluk dan cuba memejamkan mata. Dia beristighfar berkali-kali, namun di dalam fikirannya malam itu, bukan wajah Azman yang muncul, melainkan wajah Amir yang sedang tersenyum sambil membukakan pintu kereta untuknya.

Dia merindui Azman dengan segenap jiwa, namun kehadiran Amir mula mengisi ruang-ruang kosong yang ditinggalkan suaminya itu dengan cara yang sangat halus dan berbahaya.

Azzatul sedar, dia sedang berjalan di atas titian yang sangat nipis, dan salah satu langkah sahaja, dia mungkin akan jatuh ke dalam lembah yang tidak berpenghujung.


Pagi Khamis itu, Azzatul Alana melangkah keluar dari pintu rumahnya dengan perasaan yang bercampur baur. Matanya tertumpu pada pagar pemisah. Di situ, tersangkut sebuah beg plastik kecil berisi ubat sapu yang disebut Amir malam tadi.

Azzatul mengambilnya perlahan. Sentuhan plastik itu seolah-olah membawa kehangatan perhatian Amir yang tidak pernah putus.

"Terima kasih, Amir..." bisiknya sangat perlahan, hampir tidak kedengaran. Panggilan 'Encik' sudah mula hilang dalam monolog hatinya.

Sepanjang sesi pengajaran di sekolah, Azzatul cuba memberikan fokus sepenuhnya. Namun, cuaca hari ini sangat luar biasa panasnya. Bahang matahari menembusi dinding-dinding kelas, membuatkan kipas syiling seolah-olah hanya memusingkan angin panas.

Sebagai Ketua Panitia, dia terpaksa turun naik tangga dari pejabat ke kelas, kemudian ke bilik mesyuarat. Peluh mula membasahi jubah coklat yang dipakainya, membuatkan fabrik itu melekat sedikit pada tubuhnya.

Tepat jam 2.15 petang, Azzatul melangkah keluar dari sekolah dengan langkah yang longlai. Ford Ranger hitam itu sudah sedia menanti di tempat biasa.

Sebaik sahaja Azzatul memboloskan diri ke dalam kereta, dia menyandarkan kepalanya ke penyandar kerusi. Dia memejamkan mata, menikmati hembusan pendingin hawa yang dingin.

Amir, yang sedang memerhatikan setiap gerak-geri Azzatul, merasakan nafasnya sedikit sesak. Dalam ruang yang tertutup itu, bauan yang sangat dia nantikan kembali memenuhi ruang.

Kerana cuaca yang sangat panas, bauan softener pada jubah Azzatul telah sebati dengan peluh asli dari tubuh wanita itu. Ia adalah aroma yang sangat organik, sangat feminin, dan sangat menggoda naluri lelaki Amir.

Bau 'wanita' yang sedang keletihan itu membangkitkan satu gelora nafsu yang cuba ditekan Amir sedalam mungkin di sebalik wajah tenangnya.

"Ustazah... Ustazah nampak sangat tak bermaya hari ni," tegur Amir dengan nada yang sarat dengan simpati.

Azzatul membuka matanya perlahan, memandang Amir dengan pandangan yang sayu. Hilang sudah kilatan tegas di sebalik kacamatanya. Yang tinggal hanyalah seorang wanita yang nampak rapuh.

"Panas sangat hari ni, Amir. Saya rasa macam tenaga saya kena sedut habis," jawab Azzatul.

Dia tidak lagi membetulkan tudungnya dengan agresif seperti selalu. Dia terlalu letih untuk menjaga imej untuk hari ini.

"Ustazah bukan saja penat fizikal, saya rasa Ustazah tengah penat mental juga, kan?" Amir memancing bicara, suaranya sengaja direndahkan, menjadi lembut dan memujuk.

"Kalau Ustazah nak luah apa-apa, luahlah. Saya sedia jadi pendengar setia. Saya tahu, simpan sorang-sorang tu sakit, Ustazah."

Azzatul menghela nafas panjang. Mungkin kerana faktor cuaca, atau mungkin kerana bentengnya sudah terlalu lama diasak, air matanya tiba-tiba bergenang.

"Kadang-kadang saya rasa... saya ni macam robot, Amir," luah Azzatul dengan nada yang bergetar.

"Di sekolah, saya ustazah yang sempurna, yang tegas, yang jadi rujukan semua orang. Tapi bila balik rumah, saya kena hadap dinding rumah yang kosong. Saya rindu suami saya, tapi rindu tu lama-lama jadi penat sebab dia tak ada di depan mata bila saya perlukan dia." Luah Azzatul.

Amir hanya diam, memberikan ruang untuk Azzatul terus bercerita. Dia tahu, ini adalah fasa di mana Azzatul mula mempercayainya lebih daripada sekadar jiran.

"Orang nampak saya kuat. Azman nampak saya okey. Tapi saya sunyi, Amir. Sunyi sangat. Saya penat nak kena uruskan semuanya sendiri. Kereta rosak, lampu padam... benda-benda kecil macam tu pun boleh buat saya rasa nak tumbang sebab saya tak ada tempat nak mengadu secara fizikal," Azzatul menyapu air matanya dengan hujung tudung.

Amir mencapai sekotak tisu dan menghulurkannya kepada Azzatul. Jari mereka bersentuhan seketika, dan kali ini Azzatul tidak menarik tangannya dengan pantas.

"Ustazah, menangislah. Tak salah untuk seorang wanita yang hebat macam Ustazah untuk rasa lemah sesekali. Saya ada di sini. Walaupun saya bukan siapa-siapa, saya takkan biarkan Ustazah hadap semua ni sorang-sorang lagi," kata Amir, matanya merenung wajah Azzatul dengan penuh damba dan kasih.

Melihat Azzatul yang masih teresak-esak kecil, Amir tidak membelok ke arah taman perumahan mereka. Sebaliknya, dia memandu ke arah sebuah kafe kecil yang tersorok dan tenang, jauh dari hiruk-pikuk kawasan sekolah.

"Ustazah, kita pergi makan sekejap ya? Kita cari tempat yang tenang, ada air-cond. Ustazah kena makan dan tenangkan fikiran sebelum balik rumah. Kalau Ustazah balik dalam keadaan macam ni, Ustazah akan makin stres," pelawa Amir.

Azzatul yang biasanya akan menolak dengan tegas, kali ini hanya terdiam. Dia merasa tidak mempunyai kekuatan lagi untuk bertekak atau menjaga batas yang melemaskan itu.

Dia perlukan teman. Dia perlukan seseorang untuk duduk di depannya dan meyakinkan dia bahawa semuanya akan okey.

"Yelah... tapi jangan lama-lama ya, Amir," jawab Azzatul akur.

Amir tersenyum manis. Kemenangan kecil ini sangat bermakna baginya.

"Terima kasih sebab sudi percayakan saya, Ustazah."


Di dalam kafe yang sunyi itu, mereka duduk bertentangan. Azzatul mula merasa lebih tenang selepas menghirup minuman sejuk. Amir pula tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat, diselang-seli dengan pandangan mata yang seolah-olah mahu menembusi jiwa Azzatul.

Azzatul sedar, dia sedang meluahkan rahsia hatinya kepada lelaki yang bukan suaminya. Dia sedar dia sedang duduk berdua-duaan di tempat yang romantik.

Namun, pada saat itu, rasa dihargai oleh Amir terasa jauh lebih nyata daripada rindu yang menyakitkan terhadap Azman di Pahang.

Mawar itu kini bukan sahaja sudah disentuh, malah kelopaknya sudah mula terbuka untuk membiarkan Amir melihat keindahan di dalamnya.

Show 0 comments

Log in to join the conversation.

  • No comments yet. Be the first.

Chapters

  1. 01 Bab 1
  2. 02 Bab 2
  3. 03 Bab 3
  4. 04 Bab 4
  5. 05 Bab 5
  6. 06 Bab 6
  7. 07 Bab 7
  8. 08 Bab 8
  9. 09 Bab 9
  10. 10 Bab 10
  11. 11 Bab 11
  12. 12 Bab 12
  13. 13 Bab 13
  14. 14 Bab 14
  15. 15 Bab 15
  16. 16 Bab 16
  17. 17 Bab 17: Epilog