Skip to content
Ustazah AA
Chapter2

Bab 2

Jari Manis · 9 min read

Minggu pertama yang penuh dengan debaran dan cubaan Amir untuk menyapa mesra berakhir tanpa sebarang rekahan pada dinding kesetiaan Azzatul Alana.

Namun, di sebalik tembok konkrit yang memisahkan dua rumah teres itu, sebuah peperangan saraf baru sahaja bermula.

Bagi Azzatul, setiap pagi adalah satu ritual pertahanan diri. Sebelum kaki melangkah keluar dari pintu grill, dia akan mengintai melalui lubang kecil pada langsir, memastikan keadaan "medan perang" di luar.

Dia bukan takut, tetapi dia rimas. Rimas dengan cara Amir memandangnya, pandangan seorang lelaki yang seolah-olah mempunyai kunci untuk membuka setiap rahsia yang disimpan rapi di bawah jubah labuhnya.

Walaupun Amir cuba mencari ruang setiap pagi dan petang dengan senyuman manis yang menampakkan lesung pipit tipis, tawaran kuih-muih yang dibeli panas-panas dari gerai simpang, mahupun sekadar sapaan tentang keadaan tahap kesihatan nya, Azzatul tetap kekal sebagai ustazah yang 'sombong' dan dingin.

Baginya, Amir hanyalah gangguan, satu ujian daripada Tuhan yang perlu ditepis demi menjaga kesucian cintanya pada Azman.

Namun, bagi Amir, kedinginan dan ketegasan itu adalah satu bentuk candu. Semakin Azzatul menjauh, semakin kuat rindu yang mencengkam dadanya.

Amir adalah seorang jurutera yang terbiasa menyelesaikan masalah rumit, dan bagi dia, Azzatul adalah formula yang paling mencabar untuk dipecahkan.

Dapat melihat kelibat Azzatul menyidai kain di ampaian belakang dengan rambut yang dilitupi tudung sarung, atau mendengar deruman enjin Axia putih wanita itu pun sudah cukup untuk membuatkan jantungnya berdegup kencang secara tidak sekata.

Amir mula sedar, ada satu perasaan aneh yang tumbuh subur setiap kali dia menatap wajah ayu di balik kacamata bingkai nipis itu.

Hatinya berbunga setiap kali mendengar suara Azzatul, walaupun suara itu hanya kedengaran ketika menjawab salam dengan nada garang dan tegas.

Baginya, kegarangan Azzatul adalah satu bentuk keanggunan yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita moden yang pernah dia temui sebelum ini.


Pagi Sabtu itu, suasana di rumah hujung lorong berubah ceria secara drastik.

Seawal jam 8.00 pagi, kicauan burung di dahan pokok mangga terasa lebih merdu di telinga Azzatul.

Kereta Perodua Ativa milik Azman sudah terparkir di dalam porch sejak lewat malam tadi.

Bagi Azzatul, kehadiran suaminya adalah seperti titisan air hujan yang menyirami tanah yang gersang setelah berbulan-bulan kemarau. Walaupun baru seminggu tidak berjumpa secara fizikal, tapi rindunya seperti berbulan-bulan tidak bersua.

"Abang, jomlah kita pergi Aeon hari ni? Azza nak cari barang dapur sikit, lepas tu kita pergi makan tempat yang abang suka tu," rintih Azzatul sambil memeluk lengan Azman erat di muka pintu.

Suaranya yang biasanya tegas dan berwibawa di hadapan para pelajar di sekolah, kini berubah 180 darjah menjadi manja, lembut, dan mendayu-dayu.

Azzatul meletakkan kepalanya di bahu Azman, menghirup aroma sabun mandi dan haruman tubuh suaminya yang sangat dirindui.

Azman tersenyum, mengusap lembut kepala isterinya yang masih berbalut tudung sarung.

Keletihan memandu dari Pahang selama berejam- jam malam tadi hilang serta-merta melihat wajah ceria si isteri.

"Boleh, sayang. Apa saja untuk isteri abang yang comel ni. Azza nak pergi shopping sampai malam pun abang teman. Kita ganti balik masa seminggu yang kita terpisah ni, ya?"

Azzatul ketawa kecil, satu bunyi yang sangat jarang didengari oleh telinga jiran sebelah. Kemesraan mereka terpamer jelas di halaman rumah.

Azzatul tidak lagi menunduk malu atau berjalan tergesa-gesa. Dia mahu dunia tahu termasuk jiran sebelahnya yang selalu memerhati itu bahawa dia adalah milik mutlak lelaki di sisinya. Dia mahu menegaskan sempadan yang tidak boleh dicerobohi oleh sesiapapun.

Di sebalik tingkap bilik tingkat atas rumah sebelah, Amir berdiri kaku. Dia berdiri di dalam gelap, hanya memerhati melalui celah langsir yang dibuka sedikit.

Hatinya terasa disiat-siat melihat tangan Azzatul yang begitu erat memeluk lengan Azman. Tangan yang sama yang dipandangnya dari jauh setiap hari, kini sedang menyentuh lelaki lain dengan penuh kasih dan ghairah yang tersembunyi.

Amir mengetap bibir. Ada rasa cemburu yang membakar, namun pada masa yang sama, dia merasa satu cabaran yang lebih besar. Dia melihat bagaimana Azzatul ketawa, bagaimana Azzatul bermanja.

"Oh, jadi itu sisi lain Ustazah Azzatul," bisiknya perlahan.

"Satu hari nanti, aku yang akan buat kau ketawa macam tu." Amir yang gila bayang cuba membayangkan hari yang bahagia itu sambil tersenyum manis.


Sepanjang hujung minggu itu, Azzatul benar-benar melepaskan rindu. Di pusat membeli-belah, mereka berjalan berpegangan tangan, jari-jemari bertaut erat, tidak ubah seperti pasangan yang baru tamat majlis persandingan semalam.

Azzatul kelihatan sangat bahagia, ketawanya pecah setiap kali Azman membuat lawak bodoh atau mengusik tentang pipinya yang makin tembam.

Bagi Azzatul, Azman adalah pelindungnya, kubu kuatnya daripada gangguan dunia luar.

Namun, jauh di sudut hati yang paling dalam, yang dia sendiri takut untuk akui, dia menggunakan kemesraan yang meluap-luap ini sebagai 'ubat' atau pendinding untuk melupakan gangguan emosi yang dibawa oleh Amir sepanjang minggu.

Dia merasa cukup rimas dengan cara Amir memandangnya, namun ada satu bahagian kecil dalam otaknya yang terus mengingati senyuman nakal lelaki itu.

Azzatul mahu meyakinkan dirinya sendiri bahawa cintanya pada Azman tidak akan goyah walaupun seinci.

"Azza sayang abang sangat-sangat. Janji dengan Azza, abang akan cepat-cepat minta tukar ke sini? Azza tak suka tinggal sorang-sorang," tanya Azzatul saat mereka sedang menikmati makan malam di sebuah restoran mewah dengan pemandangan bandar.

Azman menggenggam tangan Azzatul di atas meja, mengusap lembut ibu jari isterinya.

"Abang janji, sayang. Doakan urusan kita dipermudahkan. Abang pun tak sanggup biarkan Azza sorang-sorang kat sini. Risau abang memikirkan keselamatan Azza, dengan jiran-jiran yang abang tak berapa kenal lagi." Luah Azman.

Azzatul tersentak sedikit mendengar perkataan "jiran". Bayangan Amir melintas di fikirannya. Dia hampir mahu mengadu tentang gangguan Amir, namun dia membatalkan niat itu.

Dia takut Azman akan risau berlebihan atau mungkin timbul pergaduhan. Dia mahu malam itu kekal sempurna.

Malam itu, di dalam bilik yang harum dengan bau bunga rampai, mereka melepaskan segala rindu yang terbuku. Satu pertemuan fizikal yang menjadi bekalan untuk seminggu mendatang.

Bagi Azzatul, itu adalah pengesahan ikatan suci mereka, manakala bagi Amir di sebelah, bunyi pintu kereta yang ditutup atau suara enjin yang sesekali kedengar hanyalah peringatan bahawa dia masih seorang pemerhati di luar pagar.


Petang Ahad kembali membawa mendung di wajah Azzatul. Langit yang kian gelap seolah-olah mengerti hatinya yang bakal kembali kesunyian. Waktu untuk Azman berangkat semula ke Pahang kian hampir.

Semasa Azman sedang memasukkan beg pakaian ke dalam bonet kereta, Amir tiba-tiba muncul di halaman rumahnya.

Dengan hanya berbaju singlet kelabu yang menonjolkan otot lengannya dan berseluar pendek, dia berpura-pura sedang menyiram pokok bunga kertas yang sebenarnya sudah pun basah.

"Eh, Encik Azman. Dah nak balik ke?" tegur Amir dengan nada yang sangat peramah, seolah-olah mereka adalah kawan lama yang sangat akrab.

Azman berpaling dan tersenyum tulus. Sebagai seorang lelaki merangkap cikgu yang baik, dia tidak menghidu sebarang muslihat.

"A'ah, Amir. Kena gerak awal sikit, takut jem dekat lebuh raya nanti. Macam biasa ya Amir, tolong tengok-tengokkan rumah ni. Tolong pantaukan isteri saya kalau ada apa-apa." Azman cuba berbasa-basi dengan jiran isterinya itu.

Azzatul yang berdiri di belakang Azman terasa mahu menjerit.

'Jangan minta tolong dia, abang!' bisik hatinya.

Dia memandang kosong ke arah pasu bunga, langsung tidak mahu bertentang mata dengan Amir yang kini sedang tersenyum lebar.

"Jangan risau, Encik Azman. Saya ada kat sebelah ni. Ustazah Azzatul selamat dalam jagaan jiran-jiran kat sini," balas Amir.

Perkataan "dalam jagaan" itu ditekankan sedikit, seolah-olah mempunyai makna tersirat yang hanya difahami olehnya.

Selepas kereta Azman hilang dari pandangan lorong, Azzatul segera berpusing untuk masuk ke rumah. Dia tidak mahu memberi ruang walau sesaat pun untuk Amir memulakan bicara.

Langkahnya laju, namun suara Amir yang rendah dan serak menghalangnya.

"Meriah nampak hujung minggu Ustazah. Seronok suami ada?" Amir memulakan bicara.

Azzatul berhenti. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab tanpa berpaling.

"Syurga saya ada di bawah tapak kaki dia, Encik Amir. Mestilah saya seronok. Kegembiraan seorang isteri adalah apabila berada di samping suaminya yang sah." Jawab Azzatul dengan sedikit tegas.

Azzatul terus melangkah masuk dan menghempas pintu grill dan pintu kayu dengan kuat. Bunyi dentuman itu bergema kuat, namun bukannya membuatkan Amir terasa hati, dia justru tertawa kecil. Dia dapat merasakan adrenalinnya mengalir laju.

"Garang betul. Memang garang. Makin garang, makin cantik," Amir menggumam sendiri sambil memegang dadanya.

Amir tahu, di sebalik pintu yang tertutup itu, ada seorang wanita yang sedang gelisah, dan kegelisahan itu adalah kemenangan kecil baginya.


Isnin kembali dengan wajah yang muram. Pemergian Azman meninggalkan lubang besar dalam hati Azzatul, sebuah ruang kosong yang segera diisi oleh rasa rimas yang menyesakkan dada.

Sebaik sahaja fajar menyingsing, Azzatul sudah dapat merasakan kehadiran "mata" yang memerhati dari balik tembok sebelah.

Amir tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menyerah kalah. Malah, masuk minggu kedua ini, dia menjadi lebih berani. Baginya, kedinginan Azzatul hanyalah kulit luar yang perlu dikupas perlahan-lahan.

Pagi itu, Azzatul sengaja melewatkan sedikit langkahnya. Dia menyibukkan diri di dalam rumah, mencuci pinggan yang sudah bersih, dan membetulkan tudungnya berkali-kali di depan cermin, berharap Amir sudah pun berangkat ke pejabat.

Namun, harapannya berkecai sebaik sahaja dia membuka pintu. Amir sedang berdiri tepat di tepi pagar rendah yang memisahkan rumah mereka.

Kali ini dia tidak berpura-pura. Dia berdiri tegak dengan pakaian pejabat yang kemas, memegang satu bungkusan plastik kecil.

"Assalamualaikum, Ustazah. Selamat memulakan tugas di hari Isnin," sapa Amir.

Suaranya pagi ini kedengaran lebih dalam, lebih tenang, dan sarat dengan daya tarikan yang sengaja dipamerkan untuk menguji iman Azzatul.

"Waalaikumussalam," jawab Azzatul pendek. Dia cuba berjalan pantas menuju ke keretanya tanpa memandang kiri atau kanan.

"Ustazah, saya tahu Ustazah tak sempat nak sarapan pagi-pagi macam ni. Saya ada belikan nasi lemak kegemaran ramai kat simpang depan tu. Sambalnya tak pedas sangat, sesuai untuk orang yang lembut macam Ustazah," Amir menghulurkan bungkusan itu melangkaui pagar.

Azzatul berhenti di depan pintu keretanya. Dia berpaling, matanya tajam merenung Amir.

"Encik Amir, saya dah cakap kan? Saya tak perlukan apa-apa pemberian daripada Encik Amir. Tolonglah berhenti buat macam ni. Saya rimas, tahu tak? Apa kata orang kalau nampak?" Suara Azzatul sedikit tegas.

"Rimas? Atau Ustazah sebenarnya takut?" Amir mencabar dengan nada berseloroh.

"Ustazah janganlah takut, saya ni jiran yang baik. Niat saya cuma nak berkongsi rezeki."

"Saya tak takut! Saya cuma jaga batas sebagai isteri orang. Encik Amir tolong faham bahasa!" Azzatul terus memboloskan diri ke dalam Axia putihnya, menghempas pintu dengan kuat sehingga kereta itu sedikit bergoyang.


Sepanjang sesi pengajaran di sekolah, fikiran Azzatul tidak keruan. Dia yang biasanya sangat fokus ketika menerangkan tentang hukum-hukum muamalat, hari ini beberapa kali tersasul.

"Ustazah okey?" tanya salah seorang pelajar tingkatan lima yang perasan perubahan wajah gurunya.

Azzatul membetulkan kacamata yang sedikit melorot.

"Ustazah okey. Cuma kurang tidur sikit. Mari kita sambung bab tanggungjawab isteri..." Kata-katanya terhenti sejenak.

Tanggungjawab isteri. Dia merasa bersalah kerana bayangan Amir terus menerus mengganggu tumpuannya.

Di dalam hatinya, dia sedang berperang. Dia rimas dengan Amir, tetapi pada masa yang sama, ada satu rasa aneh yang mula menyelinap masuk tanpa dijemput.

Rasa diperhatikan, rasa dicari, dan rasa diinginkan sebagai seorang wanita, bukan sekadar sebagai seorang ustazah.

Selama enam bulan perkahwinan, Azman sentiasa memujinya, tetapi pujian Azman terasa selamat dan "sepatutnya". Perhatian daripada Amir terasa 'liar', berbahaya, dan mencabar egonya.

Petang itu, Azzatul pulang dengan harapan untuk berehat. Namun, sebaik sahaja dia sampai di pintu rumah, dia melihat sekeping nota terselit di grill.

"Jangan terlalu garang, nanti cepat tua. Saya letak nasi lemak tu kat atas peti surat pagi tadi, tapi nampak macam dah kena angkut dengan kucing. Jadi, petang ni saya ganti dengan minuman sejuk. Ada dalam beg plastik kat pagar." — Amir

Azzatul meronyokkan kertas itu dengan perasaan marah yang meluap-luap. Dia melihat ke arah rumah Amir, tetapi kereta lelaki itu tiada. Azzatul berfikir, Mungkin lelaki itu sengaja mengelak dari bersua dengannya kerana risau akan dimarahi lagi.

Dia melihat ke arah pagar, dan benar, ada beg plastik berisi air kotak sejuk yang masih berwap.

Cuaca petang itu sangat membahang. Tekak Azzatul terasa perit. Dia mahu membuang air itu ke dalam tong sampah, namun tangannya terhenti.

Ada satu bisikan halus yang mengatakan "ia cuma air, takkanlah minum air pun boleh jadi haram?".

"Syaitan tengah mainkan peranan dia ni," bisik Azzatul.

Azzatul akhirnya mengambil air itu, namun dia membawanya masuk dan meletakkannya di atas meja dapur.

Dia tidak meminumnya, tetapi dia juga tidak membuangnya. Air kotak itu dibiarkan di situ, menjadi saksi bisu kepada pertahanan hatinya yang mula menunjukkan retakan halus.

Malam itu, Azzatul duduk di sofa dalam kegelapan. Dia menunggu panggilan daripada Azman, namun hanya pesanan ringkas yang diterima:

"Sayang, abang sibuk sikit malam ni. Ada mesyuarat mengejut di taman. Love you!"

Azzatul meletakkan telefonnya dengan keluhan berat. Dia merasa sangat sunyi dalam rumah yang besar itu.

Tiba-tiba, dia mendengar bunyi pintu rumah sebelah dibuka. Bunyi langkah kaki Amir di halaman rumah sebelah terasa begitu dekat, seolah-olah lelaki itu sedang berdiri tepat di sebalik dinding ruang tamunya.

Rasa rimas itu kini bercampur dengan sesuatu yang lebih mendebarkan. Azzatul sedar, dinding kesetiaannya bukan runtuh kerana benci, tetapi kerana perhatian yang diberikan oleh lelaki yang sepatutnya menjadi orang asing, di saat pelindungnya yang sah berada jauh di mata.

Show 0 comments

Log in to join the conversation.

  • No comments yet. Be the first.

Chapters

  1. 01 Bab 1
  2. 02 Bab 2
  3. 03 Bab 3
  4. 04 Bab 4
  5. 05 Bab 5
  6. 06 Bab 6
  7. 07 Bab 7
  8. 08 Bab 8
  9. 09 Bab 9
  10. 10 Bab 10
  11. 11 Bab 11
  12. 12 Bab 12
  13. 13 Bab 13
  14. 14 Bab 14
  15. 15 Bab 15
  16. 16 Bab 16
  17. 17 Bab 17: Epilog