Skip to content
Ustazah AA
Chapter5

Bab 5

Jari Manis · 13 min read

Pagi selasa yang biasanya tenang di kawasan perumahan elit itu terasa sedikit berbeza buat Azzatul Alana.

Seawal jam 6.15 pagi, dia sudah berdiri di hadapan cermin besar di dalam bilik tidurnya. Jubah berwarna hijau zamrud yang longgar dan tudung labuh hitam menjadi pilihannya hari ini.

Berkali-kali dia membetulkan kedudukan kacamata dan tudungnya, seolah-olah ada mata yang sedang menilai setiap inci penampilannya.

Tiba-tiba, telefon pintarnya di atas meja solek bergetar. Satu notifikasi WhatsApp muncul.

Amir Jiran: “Assalamualaikum, Ustazah. Saya dah panaskan enjin. Pukul 6.45 saya tunggu depan pagar ya? Jangan kalut, saya tak lari.”

Jantung Azzatul berdegup kencang. Itu adalah mesej pertama daripada Amir. Dia teragak-agak untuk membalas, namun akhirnya jemarinya menari di atas skrin.

Azzatul: “Waalaikumussalam. Baiklah.”

Ringkas. Padat. Tetap dengan imej ustazahnya yang menjaga batas.

Tepat jam 6.45 pagi, Azzatul melangkah keluar. Ford Ranger Amir sudah sedia menanti. Sebaik sahaja Azzatul menghampiri, Amir keluar dan membukakan pintu penumpang hadapan.

"Assalamualaikum, Ustazah. Dah sedia nak mendidik anak bangsa hari ni?" sapa Amir dengan senyuman yang sangat cerah, menampakkan barisan giginya yang putih bersih.

"Waalaikumsalam, Encik Amir. Insya-Allah, sedia," jawab Azzatul sambil melangkah masuk ke dalam perut kereta yang harum dengan bau maskulin.

Sebaik sahaja kereta bergerak, Amir memulakan bicara. Suasana pagi yang masih remang-remang itu memberikan aura privasi yang sangat tebal di dalam kereta.

"Ustazah perasan tak? Warna hijau ni nampak sangat tenang pada Ustazah. Nampak... macam mana nak cakap ya? Macam perempuan melayu terakhir," puji Amir secara tiba-tiba. Suaranya rendah, kedengaran sangat tulus namun sarat dengan nada menggoda.

Azzatul tersentak. Dia mengetatkan pegangan pada beg tangannya.

"Encik Amir, tolong jaga lisan. Tak manis puji isteri orang macam tu. Saya pakai warna ni sebab nak nampak kemas depan pelajar je." Tegas Azzatul.

Amir ketawa kecil, tidak sedikit pun terasa hati dengan teguran itu.

"Saya cuma jujur, Ustazah. Salah ke kalau saya puji ciptaan Tuhan yang cantik di depan mata saya sekarang? Kadang-kadang saya rasa Encik Azman tu lelaki paling bertuah di dunia. Kalau saya di tempat dia, saya takkan sanggup tinggalkan Ustazah sorang-sorang kat sini."

Wajah Azzatul merona merah, namun dia cuba mengekalkan wajah 'singa' nya.

"Encik Amir, tolong berhenti. Saya hargai pertolongan Encik Amir, tapi saya nak ingatkan sekali lagi... saya isteri kepada Azman. Walaupun dia jauh, maruah dia tetap ada pada saya. Tolong jangan buat saya rasa tak selesa untuk terus menumpang Encik Amir." Kali ini nadanya lebih tegas.

Amir memandang sekilas ke arah Azzatul. Dia melihat wanita itu sedang memandang ke luar tingkap, namun dia perasan hujung tudung Azzatul sedikit bergetar. Dia tahu, kata-katanya tadi sudah masuk ke dalam hati wanita itu.

"Maafkan saya, Ustazah. Saya tak bermaksud nak menggugat kesetiaan Ustazah. Saya cuma... kadang-kadang saya tak mampu nak tahan diri daripada mengagumi Ustazah. Tapi baiklah, saya minta maaf. Kita tukar topik, ya?" Amir mengalah secara strategik.

Dia tahu bila perlu menekan dan bila perlu melonggarkan tali.

"Ustazah mengajar subjek apa hari ni?" tanya Amir, kembali ke nada peramah yang biasa.

"Hari ni ada kelas Al-Quran dan Hadis. Lepas tu ada kelas Fiqah petang sikit," jawab Azzatul, suaranya mula kembali normal.

"Fiqah? Bab apa? Bab munakahat ke? Bab perkahwinan?" usik Amir lagi dengan kening yang terangkat.

Azzatul menjeling tajam ke arah Amir.

"Encik Amir ni memang suka mengusik ya? Hari ni saya mengajar bab muamalat. Pasal urusan jual beli dan kejujuran dalam perhubungan sesama manusia."

"Kejujuran ya? Bagus topik tu. Kejujuran itu penting, Ustazah. Tapi jujur pada perasaan sendiri pun penting juga, kan?" Amir membalas dengan kata-kata dua makna.

Azzatul terdiam. Dia merasa Amir sangat bijak memusingkan setiap ayat yang keluar dari mulutnya menjadi satu bentuk godaan yang halus.

"Bagi saya, kejujuran pada prinsip dan amanah itu yang paling utama. Sebagai seorang isteri, amanah saya adalah menjaga diri untuk suami. Itu prinsip saya yang paling besar, Encik Amir."

"Saya hormat prinsip tu, Ustazah. Betul. Tapi manusia tetap manusia. Ada rasa sunyi, ada rasa rindu. Ustazah tak penat ke setiap malam duduk sorang-sorang dalam rumah besar tu?"

Pertanyaan Amir itu menusuk tepat ke lubang hati Azzatul yang paling dalam. Dia memang penat. Dia rindu akan sentuhan fizik, rindu akan teman berbual yang nyata, bukan sekadar imej di skrin telefon. Namun, dia tidak akan mengakuinya di hadapan Amir.

"Tuhan ada untuk menemani saya, Encik Amir. Kesunyian itu adalah ujian. Dan saya yakin, setiap kesabaran saya akan ada ganjaran di syurga nanti," jawab Azzatul dengan nada yang sangat berwibawa.

"Ustazah memang hebat. Patutlah ramai orang segan dengan Ustazah. Tapi ingat Ustazah, saya di sini bukan untuk meruntuhkan syurga Ustazah. Saya cuma nak jadi... 'pendamai' dalam kesunyian Ustazah buat sementara waktu ni," bisik Amir lembut ketika mereka berhenti di lampu isyarat merah.

Azzatul tidak menjawab. Dia merasa satu perasaan aneh yang berbunga di hatinya, walaupun akalnya menjerit menyuruhnya membenci kata-kata itu. Dia benci bagaimana Amir boleh membuatkan dia rasa dilihat sebagai seorang wanita, bukan sekadar sebagai seorang ustazah atau seorang isteri.

Setibanya di pintu gerbang sekolah tepat jam 7.15 pagi, Azzatul bersiap untuk keluar.

"Terima kasih hantarkan saya, Encik Amir," kata Azzatul tanpa memandang wajah Amir.

"Sama-sama. Pukul 2.15 nanti saya ada kat sini. Jangan tumpang orang lain, ya? Ingat... saya tak suka jiran saya 'hilang' tanpa khabar," pesan Amir dengan nada yang separuh bergurau namun ada ketegasan di dalamnya.

Azzatul mengangguk perlahan sebelum menutup pintu kereta. Dia berjalan masuk ke dalam sekolah dengan langkah yang sopan, namun di dalam fikirannya, kata-kata Amir tentang "kejujuran pada perasaan" tadi terus berputar-putar.

Amir pula memerhatikan langkah Azzatul dari dalam kereta. Dia menghirup baki bau harum jubah Azzatul yang masih tertinggal di kerusi penumpang.

"Mmmm cantik dan ayu betul walaupun garang, Azza... " gumam Amir dengan senyuman yang penuh bahagia.


Hari itu, di bilik guru, Azzatul banyak termenung. Berkali-kali dia melihat telefonnya, menunggu jam menunjukkan pukul 2.15. Dia tidak pasti sama ada dia sedang menunggu untuk pulang, atau dia sedang menunggu untuk kembali duduk di dalam ruang sempit Ford Ranger itu bersama Amir.

Jam di dinding bilik guru menunjukkan tepat pukul 2.10 petang. Azzatul Alana sudah mula mengemas beg tangannya. Hatinya yang tadi tenang mengajar di dalam kelas, tiba-tiba sahaja diserang debaran yang aneh.

Berkali-kali dia membetulkan tudung labuhnya di hadapan cermin kecil di atas meja, memastikan tiada helaian rambut yang terkeluar atau lipatan yang senget.

"Ustazah Azzatul, awal nak balik hari ni? Selalunya pukul 2.30 baru nampak ustazah gerak," tegur Ustazah Aminah, rakan sekerjanya yang duduk di meja sebelah.

Azzatul tersentak, cuba mengukir senyuman yang paling natural.

"Eh, ya... kereta saya masuk bengkel, Aminah. Jadi ada jiran yang sudi tolong ambilkan. Tak manis pula kalau saya biar dia menunggu lama."

"Ooh, patutlah. Baguslah ada jiran yang prihatin. Zaman sekarang ni payah nak cari jiran yang betul-betul boleh diharap bila suami jauh," balas Aminah tanpa rasa curiga.

Azzatul sekadar mengangguk. Di dalam hati, kata-kata Aminah itu terasa seperti sindiran yang halus. Betul-betul boleh diharap? Atau betul-betul berbahaya? Dia sendiri tidak pasti.

Tepat jam 2.15 petang, Azzatul melangkah keluar dari pagar sekolah. Ford Ranger itu sudah pun sedia menanti di bahu jalan, berkilat di bawah pancaran matahari rembang yang terik.

Sebaik sahaja Amir melihat susuk tubuh Azzatul, dia segera keluar dan membukakan pintu dengan gaya seorang Gentlemen.

"Assalamualaikum, bidadari sekolah. Nampak letih sangat hari ni," sapa Amir.

Suaranya ceria, seolah-olah penat lelah kerjanya di tapak projek hilang sebaik melihat wajah Azzatul.

"Waalaikumussalam, Encik Amir. Dah berapa kali saya cakap, jangan panggil saya dengan gelaran macam tu," balas Azzatul sambil melangkah masuk ke dalam kereta.

Sebaik sahaja pintu ditutup, kedinginan pendingin hawa menyapa wajahnya. Namun, ada satu lagi kejutan. Di ruang letak cawan cup holder, terdapat sebuah bekas minuman iced caramel macchiato yang masih berwap sejuk, dan sekotak kecil coklat jenama mewah.

"Ini untuk siapa?" tanya Azzatul, matanya memandang tepat ke arah minuman itu.

Amir memutar stereng, memulakan perjalanan.

"Untuk Ustazahlah. Saya tahu mengajar budak-budak sekolah ni memenatkan. Kadang-kadang kita perlukan sedikit gula untuk pulihkan tenaga. Minumlah, saya beli tadi masa on the way ke sini."

Azzatul terdiam. Perhatian sebegini terlalu asing baginya. Azman seorang yang penyayang, namun Azman jarang melakukan kejutan-kejutan kecil begini kerana mereka jarang berjumpa pada hari bekerja.

"Terima kasih, tapi Encik Amir tak perlu buat semua ni. Cukup sekadar hantar dan jemput saya. Saya tak nak terhutang budi terlalu banyak," kata Azzatul, walaupun tangannya sudah mula mencapai minuman sejuk itu.

"Ustazah, dalam hidup ni tak ada istilah terhutang budi antara jiran. Saya buat sebab saya nak buat. Saya suka tengok Ustazah senyum bila dapat sesuatu yang manis. Lagipun, coklat tu bagus untuk hilangkan stres," Amir tersenyum nakal.

Azzatul menghirup sedikit minuman itu. Rasa manis karamel dan kopi yang pekat memberikan satu kelegaan yang luar biasa.

"Sedap... terima kasih."

"Sama-sama. Jadi, macam mana kelas hari ni? bab muamalat dan kejujuran?" tanya Amir, cuba mengimbas kembali perbualan pagi tadi.

Azzatul bersandar pada kerusi. Kehadiran Amir di sisinya mula terasa kurang 'mengancam' dan lebih kepada 'menenangkan'.

"Ya, masih sama. Tapi hari ni budak-budak banyak tanya soalan pasal hati. Macam mana nak tahu kalau kita dah buat silap dalam menjaga hati."

"Menarik tu. Jadi apa jawapan Ustazah?"

Azzatul memandang ke luar tingkap, memerhatikan deretan kedai yang mereka lalui.

"Saya cakap pada mereka, hati itu ibarat kaca. Sekali retak, susah nak cari ganti yang sama. Jadi, kita kena jaga batas. Jangan biarkan orang yang tak sepatutnya masuk ke dalam ruang hati kita."

Amir terdiam sejenak, memproses kata-kata itu.

"Tapi Ustazah, kalau kaca tu dah retak sebelum ada orang masuk pun macam mana? Maksud saya, kalau hati tu memang dah sunyi dan dah haus sebelum ada godaan pun? Adakah salah kalau ada orang lain datang bawa ubat untuk retak tu?"

Azzatul menoleh ke arah Amir. Dia melihat rahang Amir yang tegap dan cara lelaki itu memegang stereng dengan penuh keyakinan.

"Encik Amir, ubat yang salah boleh jadi racun. Retak pada hati seorang isteri hanya boleh diubati oleh suaminya. Orang luar... mereka cuma penonton yang mungkin akan memecahkan terus kaca tu."

"Ustazah selalu sangat sebut pasal status isteri. Saya tahu, saya tak buta. Saya nampak cincin kat jari Ustazah tu setiap hari," Amir memperlahankan kenderaan apabila mereka memasuki kawasan taman perumahan.

"Tapi saya nak tanya Ustazah satu perkara secara jujur. Masa Ustazah keseorangan di sini, bila Ustazah rasa sunyi, bila kereta Ustazah rosak, bila lampu rumah Ustazah terpadam... siapa yang ada di depan mata Ustazah? Suami Ustazah di Pahang, atau saya di sebelah rumah?"

Pertanyaan itu berbunyi seperti satu letupan kecil di dalam kepala Azzatul. Dia mahu membangkang, dia mahu marah, namun lidahnya kelu.

Kebenaran yang pahit adalah, Amir memang sentiasa ada di saat dia memerlukan bantuan fizikal.

"Itu... itu cuma kebetulan. Encik Amir jiran, mestilah Encik Amir yang sampai dulu," jawab Azzatul dengan suara yang bergetar.

"Kebetulan yang berulang-ulang itu namanya takdir, Azza," Amir menyebut nama pendek Azzatul lagi, kali ini dengan nada yang lebih dalam dan serius.

"Saya tak minta Ustazah lupakan suami Ustazah. Saya cuma minta Ustazah hargai kehadiran saya sebagai lelaki yang ada di sini untuk Ustazah sekarang." Luah Amir dengan sangat tulus dari hatinya.

Azzatul tidak menjawab. Dia hanya memerhati ke luar tingkap sambil termenung jauh.

Mereka sampai di hadapan rumah Azzatul. Amir mematikan enjin, memberikan suasana sunyi yang menyesakkan di dalam kabin kereta. Azzatul tidak segera keluar. Dia merasa terperangkap antara rasa marah dan satu tarikan yang sangat kuat.

"Saya masuk dulu. Terima kasih untuk tumpangan dan air ni," kata Azzatul sambil tangannya meraba pemegang pintu.

"Azza," panggil Amir.

Azzatul menoleh. Wajah mereka kini hanya berjarak beberapa inci. Azzatul dapat melihat dengan jelas anak mata Amir yang berwarna coklat gelap, memerhatikannya dengan penuh damba.

"Esok saya ambil macam biasa. Dan... jangan fikir sangat pasal 'retak' tu. Biar saya yang jadi pelindung kaca tu buat sementara waktu ni," bisik Amir.

Azzatul tidak menjawab. Dia terus keluar dari kereta dan meluru masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja pintu dikunci, dia terduduk di sebalik pintu.

Nafasnya tercungap-cungap. Dia memegang dadanya yang berdegup kencang.

"Ya Allah... apa yang aku buat ni?" rintihnya perlahan.

Dia melihat minuman di tangannya yang masih berbaki. Rasa manis itu kini bertukar menjadi rasa bersalah yang amat sangat.

Di luar, Amir memandang pintu rumah Azzatul yang tertutup rapat dengan satu senyuman manis. Dia tahu, bibir Azzatul mungkin berkata 'tidak', namun matanya tidak boleh berbohong. Mawar berduri itu kini sudah mula membiarkan dirinya disentuh, walau hanya dengan kata-kata.


Malam semakin larut menyelimuti taman perumahan yang tenang itu. Di dalam bilik tidurnya yang harum dengan bauan lavender, Azzatul Alana baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak. Telekung putihnya dilipat kemas dan diletakkan di atas sejadah. Suasana sunyi yang menyekat dada kembali terasa.

Di dalam rumah yang luas ini, hanya bunyi detak jam dinding yang menjadi teman setia.

Azzatul merebahkan tubuhnya di atas katil yang empuk. Malam ini, dia hanya mengenakan baju kelawar daripada kain yang nipis dan lembut, pakaian kegemarannya untuk berehat di rumah.

Rambutnya yang hitam pekat dan panjang dibiarkan terurai di atas bantal, memberikan rasa bebas selepas seharian terperangkap di bawah tudung labuh yang tebal.

Dia mencapai telefon pintarnya, lalu mendail nombor suaminya Azman.

Tidak lama kemudian, skrin telefon memaparkan wajah suami tercinta yang sedang berada di bilik sewanya di Pahang.

"Assalamualaikum, abang..." sapa Azzatul, suaranya berubah menjadi sangat manja, jauh berbeza dengan nada tegasnya di sekolah.

"Waalaikumussalam, sayang. Baru habis solat ke? Nampak segar sangat isteri abang ni," balas Azman dengan senyuman lebar.

Azzatul memusingkan tubuhnya, memeluk bantal peluk erat-erat seolah-olah bantal itu adalah jasad suaminya.

"Azza rindu sangat kat abang. Rasa sunyi sangat rumah ni. Abang tengah buat apa tu?"

"Abang baru habis tanda kertas periksa budak-budak ni. Penat sikit, tapi bila tengok muka Azza, terus hilang penat abang," Azman cuba mengusik.

Sepanjang perbualan, Azman bertanya tentang aktiviti Azzatul sepanjang hari Selasa itu. Dia bertanya bagaimana keadaan sekolah, kelas yang diajar, dan juga tentang kereta Axia yang masih berada di bengkel sejak semalam.

"Macam mana pergi sekolah tadi, sayang? Kereta kan belum siap. Azza naik Grab ke?" tanya Azman, suaranya kedengaran sedikit risau.

Azzatul terdiam sejenak. Jantungnya berdegup laju. Di ruang matanya, bayangan Ford Ranger milik Amir dan haruman kopi caramel macchiato pemberian lelaki itu muncul secara tiba-tiba. Namun, dia segera menepisnya.

"Azza... Azza tumpang kawan sekolah, abang. Ustazah Aminah. Rumah dia tak jauh sangat pun dari sini, jadi dia singgah ambil Azza pagi tadi," bohong Azzatul. Suaranya sedikit bergetar, namun dia cuba mengawalnya.

Dia tahu Azman sangat mempercayai Amir sebagai jiran, namun sebagai seorang isteri, dia sedar akan ego dan cemburu seorang lelaki. Semalam adalah darurat, dan Azman mengizinkan Amir membantu kerana keadaan terdesak.

Namun, untuk membiarkan perkara itu menjadi rutin harian sementara kereta di bengkel, Azzatul tahu Azman pasti tidak akan senang hati. Dia tidak mahu suaminya di Pahang sana tidak tenang bekerja memikirkan isterinya berdua-duaan dengan lelaki bujang dalam satu kereta selama 30 minit pergi dan balik.

"Okeylah kalau macam tu. Baguslah ada kawan boleh tumpang. Abang risau sangat kalau Azza susah nak bergerak. Kereta tu nanti bila dah siap, beritahu abang ya? Biar abang bank-in duit repair tu," kata Azman lembut.

Azzatul mengangguk, namun hatinya dicarit rasa bersalah yang amat sangat. Dia benar-benar rindukan Azman. Malah, perbualan mesra dan tatapan mata Azman melalui skrin itu membuatkan naluri kewanitaannya terangsang. Dia mahukan sentuhan suaminya, dia mahukan perlindungan nyata daripada lelaki yang sah baginya.

Namun, realitinya, hanya bantal peluk yang mampu digenggamnya sekarang.

Selepas panggilan video berakhir dengan ucapan sayang dan janji untuk bertemu hujung minggu nanti, Azzatul bangun dari katil dengan langkah yang berat. Dia menuju ke meja kerja di sudut bilik. Tumpukan buku latihan murid-muridnya menanti untuk ditanda.

Di bawah cahaya lampu meja yang malap, Azzatul mula menanda satu persatu buku. Namun, fikirannya kerap melayang. Setiap bunyi kereta yang lalu di hadapan rumahnya membuatkan dia tersentak, tertanya-tanya adakah itu Amir yang baru pulang atau sekadar orang asing.

Rasa sunyi itu semakin menghimpit. Dia melihat sekeliling bilik. Foto perkahwinannya dengan Azman yang tergantung di dinding ditatap lama.

Enam bulan perkahwinan ini adalah tempoh yang sepatutnya penuh dengan kemanisan, namun jarak memisahkan mereka.

"Kenapa abang jauh sangat..." rintihnya perlahan.

Azzatul merasakan dadanya sesak. Dia benar-benar merindui belaian Azman. Bukan Amir, bukan perhatian jiran sebelah itu yang dia dambakan, tetapi suaminya sendiri.

Namun, layanan Amir yang proaktif dalam membantunya dua tiga hari ini tanpa sengaja telah menonjolkan betapa kosongnya hidupnya apabila Azman tiada.

Setelah selesai menandakan buku terakhir, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Sebelum memadamkan lampu meja, Azzatul membuka aplikasi WhatsApp. Dia melihat senarai status. Matanya terhenti pada satu nama: Amir Jiran.

Amir tidak membuat sebarang status malam itu. Namun, Azzatul merasa satu dorongan untuk meluahkan perasaannya sendiri. Dia memuat naik satu status WhatsApp berupa sekeping gambar langit malam yang diambil dari beranda biliknya tadi. Di bawah gambar itu, dia menulis nukilan ringkas:

"Kesunyian ini mengajar erti sabar. Jarak ini mengajar erti rindu. Pulanglah segera, wahai penenang hati... 🤍"

Status itu jelas ditujukan buat Azman. Dia mahu Azman tahu betapa dia menghargai hubungan mereka. Dia mahu menguatkan tembok hatinya yang seolah-olah mula digoncang oleh budi dan perhatian Amir.

Namun, Azzatul tidak menyedari bahawa di sebelah rumah, seorang lelaki sedang menanti dengan sabar. Sebaik sahaja status itu dimuat naik, Amir yang sedang berbaring sambil memegang telefon terus membukanya.

Amir tersenyum tawar melihat perkataan "Pulanglah segera". Dia tahu Azzatul sedang meronta dalam rindu kepada suaminya.

Namun bagi Amir, itu bukanlah penghalang. Rindu yang membuak-buak itulah yang menjadikan Azzatul lemah. Azzatul yang sedang 'dahaga' akan kasih sayang adalah wanita yang paling mudah untuk didekati dengan perhatian-perhatian kecil.

Azzatul mematikan lampu dan cuba untuk tidur. Di dalam kegelapan bilik, dia membayangkan Azman memeluknya.

Namun, entah mengapa, suara garau Amir yang memanggil namanya tanpa gelaran 'Ustazah' petang tadi seolah-olah bergema sekali lagi di telinganya, mengganggu keheningan malam yang sepatutnya hanya milik dia dan Azman.

Show 0 comments

Log in to join the conversation.

  • No comments yet. Be the first.

Chapters

  1. 01 Bab 1
  2. 02 Bab 2
  3. 03 Bab 3
  4. 04 Bab 4
  5. 05 Bab 5
  6. 06 Bab 6
  7. 07 Bab 7
  8. 08 Bab 8
  9. 09 Bab 9
  10. 10 Bab 10
  11. 11 Bab 11
  12. 12 Bab 12
  13. 13 Bab 13
  14. 14 Bab 14
  15. 15 Bab 15
  16. 16 Bab 16
  17. 17 Bab 17: Epilog