Skip to content
Ustazah AA
Chapter4

Bab 4

Jari Manis · 13 min read

Isnin pagi itu, langit Perak masih diselimuti sisa-sisa embun, namun Azzatul Alana sudah pun bergerak cergas di dalam rumahnya. Sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam, hari ini merupakan hari yang sangat penting. Sekolahnya akan mengadakan Program Kecemerlangan Sahsiah, dan dia adalah ketua utama majlis tersebut.

Azzatul mengenakan baju kurung moden berwarna ungu pekat yang dipadankan dengan tudung labuh material chiffom berwarna lavender.

Penampilannya pagi itu nampak sangat berwibawa, namun hatinya sedikit berdebar. Debaran seorang pemimpin yang mahukan kesempurnaan.

Tepat jam 6.40 pagi, Azzatul melangkah keluar ke arah Perodua Axia putihnya yang sudah berusia lima tahun. Dia memutar kunci enjin.

Ehek... ehek... kruk...

Hening. Enjin keretanya tidak menderu seperti biasa. Azzatul mengerutkan dahi. Dia mencuba sekali lagi, namun bunyi yang keluar hanyalah bunyi geseran besi yang kasar sebelum diikuti dengan kepulan asap nipis yang keluar dari celah bonet hadapan. Bau hangit mula menusuk hidung.

"Ya Allah, kenapa pula waktu macam ni..." Azzatul mula gelisah. Dia melihat jam di tangan. Program akan bermula tepat jam 8.00 pagi. Jarak ke sekolah mengambil masa 30 minit jika jalan lancar.

Di sebelah rumah, Amir baru sahaja keluar untuk memanaskan enjin pacuan empat roda Ford Ranger miliknya.

Melihat Azzatul yang berdiri di depan bonet kereta dengan wajah yang cemas, Amir segera menghampiri pagar.

"Ustazah? Ada masalah ke?" tanya Amir prihatin.

Azzatul menoleh, wajahnya nampak pucat.

"Encik Amir... kereta saya ni tiba-tiba tak boleh hidup. Bunyi dia pelik sangat, lepas tu ada asap." Azzatul gelisah.

Amir tidak membuang masa. Dia segera melangkah masuk ke halaman rumah Azzatul selepas mendapat keizinan. Dia membuka bonet kereta Axia itu. Selepas beberapa minit memeriksa, wajah Amir berubah serius.

"Ustazah, saya rasa head gasket kereta ni dah pecah. Tengok ni, minyak hitam dah bercampur dengan air coolant. Sebab tu bunyi dia kasar dan berasap. Kereta ni dah berapa tahun? mungkin Ustazah terlepas pandang suhu enjin atau ada kebocoran kecil pada radiator sebelum ni yang menyebabkan overheat," terang Amir secara teknikal.

"Kerosakan macam ni besar, Ustazah. Kena buat top overhaul. Memang kena masuk bengkel segera, tak boleh dipaksa jalan." Terang Amir lagi.

Azzatul hampir terduduk.

"Hah? Overhaul? Apa tu? Tapi saya ada program besar kat sekolah pagi ni, Encik Amir. Saya ketua program. Macam mana ni..." Azzatul semakin panik.

Amir melihat jam tangannya.

"Macam nilah, Ustazah. Jangan panik. Ustazah naik dengan saya. Saya hantarkan Ustazah terus ke sekolah. Lagipun tempat kerja saya memang satu jalan dengan sekolah Ustazah." Cadang Amir.

"Eh, tak apa, tak apa! Susahkan Encik Amir je. Saya... saya boleh panggil Grab," tolak Azzatul pantas.

Jantungnya berdegup laju membayangkan perlu berdua-duaan di dalam kenderaan dengan Amir.

"Ustazah, kawasan taman kita ni susah sikit Grab nak masuk pagi-pagi macam ni. Nanti Ustazah lambat. Program tu penting, kan? Jangan risau, saya ikhlas nak tolong. Mari, naik kereta saya," pujuk Amir dengan nada yang sangat meyakinkan.

Azzatul teragak-agak.

"Tapi..."

"Tak ada tapi-tapi, Ustazah. Mari, saya bukakan pintu," Amir terus berjalan ke arah keretanya, meninggalkan Azzatul yang akhirnya terpaksa akur demi tanggungjawabnya di sekolah.

Azzatul melangkah masuk ke dalam perut Ford Ranger milik Amir. Mengikut batas yang dijaganya, dia memilih untuk duduk di kerusi penumpang belakang, jauh sedikit daripada kedudukan Amir.

Amir hanya tersenyum nipis melihat tindakan Azzatul melalui cermin pandang belakang, namun dia tidak mengulas apa-apa.

Sepanjang perjalanan, suasana di dalam kereta itu terasa sangat janggal bagi Azzatul. Haruman pewangi kereta Amir yang berbau wangian yang maskulin memenuhi ruang paru-parunya. Dia meramas-ramas hujung tudungnya, matanya hanya memandang ke luar tingkap.

"Ustazah janganlah gelisah sangat. Insya-Allah sempat sampai," Amir memulakan perbualan, cuba mencairkan kedinginan.

"Terima kasih, Encik Amir. Saya betul-betul minta maaf sebab menyusahkan. Sepatutnya Encik Amir dah sampai pejabat sekarang ni," kata Azzatul, suaranya kedengaran kecil.

"Bagi saya, membantu jiran lebih penting daripada sampai awal ke pejabat. Lagipun, saya bos sendiri kat tapak projek tu, tak ada siapa nak marah," Amir berseloroh. Dia sesekali melirik ke arah Azzatul melalui cermin.

"Ustazah nampak sangat berwibawa pagi ni. Pakai ungu ni memang kena dengan aura Ustazah." Puji Amir.

Azzatul merona merah. Dia segera memalingkan wajah lebih jauh ke luar tingkap.

"Terima kasih."

Amir pula kemudian bercerita tentang pengalamannya menguruskan projek kejuruteraan, cuba membuatkan Azzatul rasa selesa.

Lama-kelamaan, ketegangan pada bahu Azzatul mula mengendur. Dia mula menjawab satu dua soalan Amir tentang program di sekolah. Tanpa sedar, 30 minit perjalanan itu terasa begitu singkat.

Apabila Ford Ranger itu berhenti di hadapan pintu gerbang sekolah, ramai guru-guru lain yang sedang bertugas memandang dengan penuh tanda tanya. Azzatul merasa sedikit segan, namun dia cuba mengawal riak wajahnya.

"Terima kasih sekali lagi, Encik Amir. Berapa saya kena bayar tambang ni?" tanya Azzatul sambil bersedia untuk keluar.

"Tambang? Amir ketawa besar.

Ustazah ingat saya ni teksi ke? Tak payah bayarlah. Cuma, nanti balik pukul berapa? Biar saya datang ambil." Amir cuba mempelawa sekali lagi.

Azzatul tersentak.

"Eh, tak payah! Balik nanti saya boleh tumpang rakan guru saya, atau saya naik Grab je."

"Ustazah, kereta Ustazah tu rosak teruk. Takkan Ustazah nak susahkan kawan-kawan pula? Lagipun saya memang lalu sini waktu petang. Pukul berapa Ustazah habis?" desak Amir lembut.

"Pukul 2.15 petang," jawab Azzatul jujur tanpa sedar.

"Okey, pukul 2.15 saya ada kat sini. Jangan tumpang orang lain, nanti saya tercari-cari pula," kata Amir dengan nada yang separuh memerintah, namun tetap sopan.

"Tapi Encik Amir kerja kan? Takkan nak lari dari tempat kerja semata-mata nak ambil saya?" Azzatul masih mencari alasan untuk menolak.

Amir memandang tepat ke mata Azzatul melalui cermin.

"Untuk Ustazah, saya boleh lari sekejap. Lagipun saya nak pastikan jiran saya ni sampai rumah dengan selamat. Janji ya? Tunggu saya."

Azzatul terpaku sejenak. Keazaman dalam suara Amir membuatkan dia tidak mampu untuk menolak lagi. Dia hanya mengangguk lemah sebelum keluar dari kereta.

"Yelah... assalamualaikum."

"Waalaikumussalam," jawab Amir dengan senyuman yang melebar di bibir.


Sepanjang program berlangsung, fikiran Azzatul tidak seratus peratus pada ceramahnya. Dia asyik memikirkan tentang jam 2.15 petang nanti. Ada satu perasaan halus yang mula menyelinap di hatinya, rasa dilindungi, rasa diberikan perhatian yang luar biasa. Dia tahu ini berbahaya, namun dalam kesunyian hidupnya tanpa Azman di sisi, perhatian Amir terasa seperti satu candu yang mula meresap ke dalam urat sarafnya.

Retak pada dinding kesetiaan itu kini bukan lagi sekadar garis halus, ia sudah mula membentuk sebuah pintu yang hanya menunggu masa untuk dikuak lebih luas.

Tepat jam 2.15 petang, bahang matahari di pekarangan sekolah terasa membakar, namun Azzatul Alana sudah berdiri di bawah pondok menunggu dengan perasaan yang tidak menentu.

Beberapa orang rakan sejawatnya sempat menegur, menawarkan tumpangan, namun Azzatul menolak dengan alasan yang sudah dirancang, dia sudah mempunyai janji.

Apabila Ford Ranger hitam milik Amir membelok masuk ke pintu pagar sekolah, jantung Azzatul berdegup kencang. Ada rasa segan yang menebal apabila melihat susuk tegap Amir keluar sebentar untuk membukakan pintu buatnya.

Kali ini, Azzatul tidak lagi duduk di belakang. Dia bimbang rakan-rakannya akan menganggap dia memperlakukan jiran seperti pemandu peribadi, maka dengan langkah yang teragak-agak, dia duduk di kerusi penumpang hadapan.

"Macam mana program hari ni, Ustazah? Berjaya?" sapa Amir memulakan bicara sebaik sahaja pendingin hawa kereta itu menyapa kulit wajah Azzatul yang kemerahan.

"Alhamdulillah, semuanya lancar, Encik Amir. Terima kasih sekali lagi sebab hantarkan pagi tadi," jawab Azzatul, tangannya erat memegang beg tangan di atas riba.

Amir melirik sekilas, perasan akan kegelisahan wanita itu.

"Sama-sama. Eh, alang-alang dah waktu makan tengah hari ni, apa kata kita singgah makan sekejap? Saya tahu satu kedai asam pedas yang sedap dekat hujung bandar ni."

Azzatul tersentak. Dia memandang Amir dengan riak wajah yang serius semula.

"Eh, tak payahlah Encik Amir. Tak manis kalau orang tengok kita makan berdua macam ni. Lagipun saya isteri orang, Encik Amir pun bujang. Saya rasa lebih baik kita terus balik." Azzatul menolak pelawaan Amir.

Amir tidak membantah. Dia sekadar mengangguk faham dengan senyuman yang tetap tenang.

"Saya faham. Maaf kalau pelawaan saya buat Ustazah tak selesa. Saya cuma risau Ustazah lapar." Amir meminta maaf.

Sepanjang perjalanan pulang, Amir tidak membiarkan suasana menjadi kaku. Dia mula bertanya tentang pengisian program tadi, tentang telatah pelajar, dan cabaran menjadi Ketua Panitia.

Azzatul yang pada mulanya menjawab ringkas, perlahan-lahan mula bercerita dengan lebih panjang lebar apabila Amir menyelitkan jenaka-jenaka spontan.

"Oh, jadi pelajar tu tanya pasal hukum hakam tapi hujung-hujung dia tanya pasal jodoh? Budak-budak sekarang memang kreatif ya, Ustazah?" Amir ketawa besar mendengar cerita Azzatul tentang seorang pelajarnya.

Azzatul turut tertawa kecil, buat pertama kalinya dia merasa begitu santai berbual dengan lelaki selain Azman.

"Itulah... pening juga saya nak menjawabnya. Tapi itulah lumrah mengajar budak sekolah menengah."

"Saya rasa kalau saya jadi pelajar Ustazah pun, saya mesti selalu tanya soalan pelik-pelik. Saja nak tengok Ustazah berkerut dahi macam sekarang ni. Nampak comel," usik Amir.

"Encik Amir!" Azzatul menjegilkan matanya, mempamerkan watak garangnya kembali, namun kali ini ada rona merah di pipinya.

"Okey, okey... saya gurau je. Eh, Ustazah dah beritahu Encik Azman pasal kereta ni?" Amir cuba mengalih topik.

"Dah. Saya dah beritahu tadi masa rehat. Dia pun terkejut, tapi dia syukur sangat ada Encik Amir yang sudi tolong. Dia kirim salam pada Encik Amir, katanya terima kasih banyak sebab jagakan saya," kata Azzatul jujur.

Amir tersenyum nipis di balik sambil terus memandu pulang.

Setibanya di rumah, Amir tidak terus masuk ke rumahnya. Dia segera menelefon rakannya yang memiliki bengkel tunda. Dalam masa 20 minit, lori tunda sudah sampai di hadapan rumah Azzatul.

"Ustazah, kita kena ikut lori ni ke bengkel. Saya nak pastikan mekanik tu bagi harga yang betul dan dia tahu apa yang perlu dibuat. Jom" ajak Amir.

Azzatul menurut sahaja.

Di bengkel, bau minyak hitam dan bunyi mesin yang membingitkan menyambut mereka. Selepas diperiksa oleh mekanik, keputusannya tetap sama.

"Ini memang kena top overhaul Ustazah. Head dah bengkok sikit. Perlukan paling kurang empat ke lima hari untuk siap sepenuhnya sebab kena hantar mesin dulu," jelas Pomen itu.

Azzatul mengeluh panjang. Dia memandang Amir dengan wajah yang buntu.

"Lima hari? Macam mana saya nak ke sekolah esok?"

Amir melangkah ke hadapan, kedudukannya kini sangat dekat dengan Azzatul sehingga wanita itu dapat menghidu bau haruman maskulinnya yang kuat.

"Ustazah, jangan peningkan kepala. Lima hari tu sekejap je. Biar saya hantar dan jemput Ustazah setiap hari sampai kereta ni siap. Saya tak keberatan." Amir sekali lagi cuba membantu.

"Eh, janganlah Encik Amir! Tak manis... apa kata jiran-jiran nanti? Lagipun nanti susahkan kerja Encik Amir pula," tolak Azzatul, suaranya kedengaran lemah.

"Ustazah, pasal jiran tu biar saya uruskan. Kalau mereka tanya, kita cakaplah hal yang betul, kereta rosak. Dan pasal kerja saya, saya dah cakap, saya bos. Saya boleh atur masa sendiri. Takkanlah saya nak biarkan Ustazah naik teksi atau Grab hari-hari? Bahaya, kita tak tahu siapa pemandunya," pujuk Amir lagi, kali ini dengan renungan mata yang sangat dalam.

Azzatul memandang ke arah keretanya yang sedang ditarik, kemudian memandang wajah Amir yang nampak sangat ikhlas mahu membantu. Dalam keadaan terdesak begini, ego dan batas yang dijaganya seolah-olah mula luntur oleh budi yang ditaburkan.

"Betul ni tak menyusahkan?" tanya Azzatul perlahan.

"Demi Ustazah, tak ada istilah susah dalam kamus saya," jawab Amir dengan nada yang separuh berbisik, cukup untuk membuatkan jantung Azzatul bergetar hebat.

Akhirnya, Azzatul mengangguk akur. Dia tidak sedar, bahawa persetujuan itu adalah permulaan kepada rutin yang akan merapatkan lagi jurang antara mereka.

Lima hari yang dijanjikan bakal menjadi saksi bagaimana seorang ustazah yang alim mula selesa berada di dalam ruang privasi seorang lelaki yang bergelar jiran.

Matahari kian condong ke ufuk barat, membiaskan cahaya jingga yang menembus masuk ke dalam ruang kabin Ford Ranger milik Amir.

Perjalanan pulang dari bengkel tunda itu terasa lebih cepat daripada biasa, sekurang-kurangnya itulah yang dirasakan oleh Amir.

Di kerusi sebelah, Azzatul Alana duduk dengan postur yang sedikit menyandar, keletihan yang amat sangat jelas terpancar pada raut wajahnya yang ayu.

Amir mencuri pandang melalui ekor matanya. Dalam ruang yang tertutup dan berhawa dingin itu, satu aroma mula memenuhi rongga pernafasannya.

Ia bukan bau minyak wangi jenama mewah yang menusuk hidung, bukan juga bau sintetik yang sering dipakai wanita kota untuk menarik perhatian.

Sebagai seorang ustazah yang faqih tentang hukum-hakam, Azzatul tidak pernah mengenakan wangian apabila keluar rumah, dia sangat menjaga larangan yang menyamakan wanita berwangian di khalayak dengan perbuatan yang tidak diredhai.

Apa yang menyapa deria bau Amir adalah sesuatu yang jauh lebih intim dan menggetarkan. Ia adalah haruman softener fabrik pada jubah ungunya yang bercampur dengan bau tubuh asli seorang wanita.

Keletihan seharian menguruskan program sekolah yang padat, ditambah dengan debu dan bahang di bengkel tadi, membuatkan sedikit peluh terbit di dahi dan leher Azzatul, meresap ke dalam serat pakaiannya.

Bau peluh yang nipis itu, bercampur dengan aroma fitrah seorang wanita yang bersih dan terjaga, memberikan satu kesan tarikan yang seksi kepada naluri maskulin Amir. Ia adalah bau yang sangat peribadi, bau yang sepatutnya hanya dihirup oleh Azman di bawah selimut, namun kini menjadi milik Amir di dalam keretanya.

"Ustazah nampak letih sangat ni," tegur Amir lembut, memecah kesunyian yang tadi hanya diisi dengan bunyi pendingin hawa.

Azzatul menghela nafas panjang, membetulkan sedikit kedudukan kacamatanya yang terasa rimas.

"Memang letih, Encik Amir. Seharian berdiri, bercakap dengan pelajar, lepas tu drama kereta rosak ni pula. Betul-betul menguji kesabaran saya hari ni." Luah Azzatul.

"Itulah, saya tengok tadi masa kat bengkel, muka Ustazah macam nak marah pun ada, nak menangis pun ada," usik Amir sambil memutar stereng perlahan.

Azzatul tertawa kecil, satu bunyi yang sangat merdu di telinga Amir, memecah tembok kedinginan yang selama ini tersimpul rapi.

"Eh, manada saya nak menangis! Saya cuma geram. Masa tengah kalut nak cepat tulah dia nak buat hal. Saya dah start tiga empat kali, dia buat bunyi ehek ehek macam orang asma. Masa tu rasa macam nak tendang je tayar tu tahu tak? Rasa nak marah pada besi tu pun ada," luah Azzatul sambil mengomel.

Amir ketawa besar mendengar omelan spontan itu. Sisi ini sangat kontras dengan imej Ustazah Azzatul Alana yang selalunya tegas, garang, dan sombong di mata orang luar.

Melihat Azzatul mengomel tentang keretanya membuatkan wanita itu nampak sangat comel dan manusiawi. Ketegasannya seolah-olah luntur di bawah beban keletihan.

"Saya manusia biasa juga, Encik Amir. Ada masa saya pun hilang sabar. Tapi itulah, nasib baik ada jiran yang baik hati macam Encik Amir ni. Kalau tak, agaknya sampai sekarang saya masih mencangkung depan bonet tu," balas Azzatul, kali ini dengan nada yang lebih mesra.

Apabila kereta semakin menghampiri kawasan taman perumahan mereka, Amir memperlahankan kenderaan. Dia tahu dia perlu melakukan satu tindakan yang akan memudahkan langkah-langkah seterusnya.

"Ustazah, alang-alang kereta Ustazah kat bengkel tu, apa kata Ustazah bagi nombor telefon Ustazah pada saya? Senang saya nak maklumkan pukul berapa saya jemput esok, atau kalau ada apa-apa berita dari pihak bengkel, saya boleh terus sampaikan pada Ustazah," kata Amir dengan nada yang sangat profesional.

Azzatul tersentak. Tangannya yang sedang memegang beg tangan digenggam erat. Hatinya berbolak-balik.

Seumur hidupnya, dia sangat menjaga privasi digitalnya. Di dalam senarai kenalan contact list telefon pintarnya, tiada nombor telefon lelaki bukan mahram, apatah lagi lelaki bujang seperti Amir. Nombor telefon rakan sekelas zaman universiti, rakan sekuliah lelaki, malah rakan sekerja lelaki pun semuanya tidak disimpan. Baginya, telefon adalah ruang paling sulit yang hanya dikongsi bersama keluarga dan suami.

"Err... rasanya tak perlu kut, Encik Amir. Saya boleh tunggu kat depan pagar macam biasa pukul 6.45 pagi esok," Azzatul cuba menolak secara halus, walaupun suaranya kedengaran teragak-agak.

"Ustazah, macam mana kalau saya ada hal kecemasan pagi esok? Takkan saya nak biar Ustazah berdiri sorang-sorang kat luar tanpa berita?" hujah Amir nampak sangat logik.

Azzatul menggigit bibir bawahnya. Ada satu suara kecil dalam hatinya bertanya; Adakah betul tindakannya ini? Adakah dia sedang membuka ruang fitnah?.

Namun, memikirkan keadaan keretanya yang tersadai, dia akhirnya mengalah.

"Yelah... Encik Amir catat ya," katanya perlahan, hampir berbisik.

Selepas nombor itu disimpan, Azzatul merasa satu beban yang berat di bahunya. Memberikan nombor telefon kepada lelaki asing terasa seperti menyerahkan satu inci daripada kesetiaannya daripada Azman.


Malam itu, setelah pulang ke rumah, Azzatul segera membersihkan diri. Dia mandi lama, cuba menghilangkan bau peluh dan debu bengkel yang melekat di tubuhnya.

Seusai solat Isyak, dia bervideo call dengan Azman, menceritakan segala yang berlaku kecuali tentang betapa dekatnya dia duduk dengan Amir di dalam kereta tadi.

Di sebelah rumah, Amir tidak boleh duduk diam. Dia berbaring di atas katilnya, memegang telefon pintarnya dengan perasaan yang berbunga-bunga.

Dia membuka aplikasi WhatsApp dan mencari nama 'Ustazah Azzatul'. Muncul sebuah gambar profil yang membuatkan Amir terpaku.

Azzatul di dalam gambar itu kelihatan sangat berseri. Ia adalah foto perkahwinannya enam bulan yang lalu. Azzatul memakai busana pengantin berwarna putih salju, lengkap dengan mahkota kecil di atas tudung labuhnya yang dihiasi renda.

Azzatul sedang berdiri bersanding dengan Azman. Wajah Azzatul dalam gambar itu nampak sangat bahagia, sangat suci.

Amir tidak mempedulikan sosok Azman di sebelah. Dia melakukan zoom pada wajah Azzatul. Dia meneliti setiap inci wajah ayu itu, matanya yang redup di balik kacamata, bibirnya yang dioles gincu lembut, dan kulit wajahnya yang bersih.

"Enam bulan..." bisik Amir sendirian. Dia membayangkan Azzatul yang mengomel di dalam keretanya tadi. Haruman tubuh Azzatul yang dihidu tadi kembali bermain di mindanya.

Amir sedar, jadual Azzatul sangat padat. Pukul 6.45 pagi keluar, pukul 2.15 petang balik. Jika ada aktiviti kokurikulum, mungkin pukul 5 petang baru wanita itu muncul di pagar rumah.

Amir tersenyum sendiri. Dia tahu, lima hari kereta itu di bengkel adalah lima hari peluang untuk dia menakluki hati sang ustazah.

Dia tidak lagi melihat Azzatul sebagai jiran yang sombong, tetapi sebagai seorang wanita yang mempunyai sisi lembut yang sedang menanti untuk diterokai.

Malam itu, Amir tidur dengan senyuman, sementara Azzatul tidur dengan rasa gelisah yang tidak mampu diterangkan, memikirkan tentang nombor telefon yang kini berada di tangan lelaki di sebelah rumahnya.

Show 0 comments

Log in to join the conversation.

  • No comments yet. Be the first.

Chapters

  1. 01 Bab 1
  2. 02 Bab 2
  3. 03 Bab 3
  4. 04 Bab 4
  5. 05 Bab 5
  6. 06 Bab 6
  7. 07 Bab 7
  8. 08 Bab 8
  9. 09 Bab 9
  10. 10 Bab 10
  11. 11 Bab 11
  12. 12 Bab 12
  13. 13 Bab 13
  14. 14 Bab 14
  15. 15 Bab 15
  16. 16 Bab 16
  17. 17 Bab 17: Epilog