Bab 6 : Minuman itu
Jari Manis · 4 min read
"Eya, makanan dah siap. Jom makan." Panggil Adira sebaik membuka pintu bilik anak kecil itu.
"Papa hari ni makan sekali dengan Eya tak?" Soal Afiyah setelah menghampiri Adira.
"Papa cakap dia tak selera nak makan hari ni." Adira kemudian memegang tangan anak kecil itu lalu dipimpin ke dapur.
"Kalau macam tu Eya pun tak nak makan lah." Afiyah menarik muka tanda merajuk.
"Janganlah macam tu, akak kan ada. Akak boleh teman Eya makan." Adira cuba memujuk anak gadis itu.
"Tapi Eya nak papa yang temankan." Afiyah masih berkeras.
"Janganlah macam tu sayang. Hari ni biar akak yang temankan, esok mesti papa akan temankan Eya. Kita makan jom." Pujuk Adira.
"Yelah-yelah." Akhirnya Afiyah mengalah dan bersetuju untuk makan.
Adira tidak tahu sampai bila majikannya akan bersikap seperti itu. Jika lelaki itu masih lagi bersikap seperti itu, sudah pasti akan memberi kesan kepada Afiyah. Dia tahu dia tidak mampu menggembirakan anak kecil itu.
Namun dia akan buat sedaya yang termampu supaya anak kecil itu tidak merasa kekosongan. Selama lebih sebulan dia berada di sini, tugasnya dirasa lebih daripada seorang pembantu rumah. Ia seperti lebih kepada menjadi seorang ibu.
"Akak, mama bila nak balik?" Soal Afiyah sebaik melabuhkan punggung di atas kerusi.
"Akak tak pastilah. Nanti kalau mama Eya dah tak sibuk, dia datang lah jumpa Eya kot." Jelas Adira.
Dia tidak sampai hati untuk menceritakan perkara sebenar dimana ibu dan bapa anak kecil itu sudahpun bercerai. Dia tidak yakin Afiyah mengerti apa yang telah terjadi di antara hubungan kedua-dua orang tuanya itu.
Darius hanya termenung di ruang balkoni rumahnya sambil matanya merenung ke arah langit yang kegelapan. Walaupun lebih sebulan sudah penceraian mereka, beliau masih lagi tidak mampu menerima hakikat.
Ia seperti mimpi buruk dimana beliau terpaksa hidup tanpa Erika di sisinya setelah sekian lama. Perkenalan di antara mereka yang menjangkau sepuluh tahun itu tamat begitu sahaja. Beliau masih tidak mengerti apa salahnya.
Kenapakah Erika meminta perpisahan tanpa memberitahu punca sebenar? Tidak sayangkah wanita itu dengan hubungan yang terjalin di antara mereka setelah sekian lama? Tidak pernahkah wanita itu memikirkan perasaan Afiyah?
Bila teringatkan akan Erika, kenangan perkenalan mereka suatu ketika dahulu melintas di fikirannya. Perkenalan sepuluh tahun lepas ketika mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di sebuah universiti.
Seorang gadis kampung yang buat pertama kali tinggal di ibu kota. Gadis yang cukup ayu itu seringkali mengenakan baju kurung dan kurang bercakap dengan lelaki. Ini kerana gadis itu sungguh menjaga pergaulan.
"U nak tak I bawa U jalan-jalan pusing KL hujung minggu ni?" Pelawa Darius.
"Taknak lah. Saya sibuk lah." Erika menolak pelawaan tersebut.
"Apa yang sibuk sangat tu? Kita kan baru semester 1, bukan ada banyak kerja pun nak buat." Darius masih lagi mengharap.
"Saya sibuk lah nak basuh baju, nak kemas barang, macam-macam lagi lah." Erika cuba mencari alasan.
"Alah yang tu semua boleh tangguh. Jomlah sekali sekala jalan-jalan. Janganlah boring sangat." Darius masih lagi cuba memujuk.
Setelah berminggu-minggu berusaha, akhirnya usahanya membuahkan hasil. Gadis itu akhirnya akur dan bersetuju untuk keluar bersamanya. Di hari yang dijanjikan, beliau membawa gadis itu ke pelbagai tempat.
Terpancar kegembiraan di wajah gadis itu setelah kali pertama meneroka ibu kota yang padat itu. Selama ini hidupnya hanya di kampung sahaja. Pada sebelah malam, Darius membawa gadis itu ke tempat selalu beliau pergi.
"Tempat apa ni?" Soal Erika. Dia yang sangat gembira pada sebelah siang tadi, kini kelihatan agak gusar berada di kawasan itu.
"Sini lah tempat I selalu lepak untuk release tension." Balas Darius lalu memanggil pelayan.
Erika hanya memerhati sekeliling tempat itu yang dipenuhi dengan orang ramai. Di dalam bangunan yang luas itu, persekitaran agak gelap kerana hanya diterangi dengan lampu berwarna-warni yang malap.
Bangunan itu bergema dengan muzik yang kuat, manakala orang ramai sedang bergembira menari sambil menikmati muzik tersebut. Dia sendiri tidak mengerti apa yang istimewa sangat dengan tempat tersebut.
"Nah air." Darius menghulur segelas air yang dipesan sebentar tadi.
"Air apa ni?" Soal Erika sebaik menghidu air tersebut dan mendapati bau yang sangat kuat.
"Tak kesah lah air apa, minum je." Arah Darius.
"Air ni arak kan? Eyy taknak lah. Awak dah gila ke nak suruh saya minum air macam ni." Erika menolak gelas itu.
"Come on lah, sporting lah sikit. Semua orang kat sini memang minum air macam ni. U kena biasakan diri dengan lifestyle kat KL ni." Darius masih lagi cuba memujuk.
Walaupun berasa berat hati, namun akhirnya Erika akur dengan permintaan Darius. Dia kemudian menyambut huluran gelas lelaki itu. Dengan perasaan gugup, dia cuba meneguk air di dalam gelas itu.
"Encik!" Suatu panggilan telah mematikan lamunan panjang Darius. Beliau kemudian memandang ke arah suara yang memanggilnya.
"Ada apa?" Soal Darius sebaik melihat Adira sedang berdiri di belakangnya.
"Saya bukanlah nak menyibuk, tapi sebagai orang melayu dan islam, saya rasa encik tak perlu kot nak minum air macam tu." Tegur Adira sambil tangannya ditunjuk ke botol yang berada di atas meja.
"Tugas kamu dalam rumah ni hanya sebagai pembantu rumah, tak perlu nak sibuk hal lain." Balas Darius.
"Minta maaf encik kalau encik tak suka dengan teguran saya." Ucap Adira.
"Awak datang nak jumpa saya ni sebab apa? Takkan semata-mata nak tegur saya kot." Darius pula menyoal.
"Saya nak bagitahu yang saya nak minta cuti minggu depan sebab nak pergi ambil result SPM." Ujar Adira.
"Yelah saya benarkan. Awak nak balik kampung naik apa?" Darius menyoal lagi.
"Naik bas lah, nak naik apa lagi." Balas Adira.
"Tengoklah kalau saya tak busy minggu depan, saya hantar awak balik kampung." Ujar Darius.
"Ehh tak payah lah sampai macam tu sekali, saya boleh balik sendiri. Ok lah saya masuk bilik dulu ya." Adira kemudian beredar daripada situ.
Darius hanya memerhati kelibat gadis itu hilang dari pandangannya. Terasa juga di hatinya apabila ditegur oleh gadis itu. Ketika ini lah beliau terasa penceraiannya dengan Erika berpunca dari dirinya sendiri.
Beliau lah orang yang mengajar dan menghasut Erika untuk meminum minuman keras. Sepatutnya seorang suami mendidik isteri menjadi seorang yang baik, namun beliau melakukan yang sebaliknya.
Mungkin kerana perbuatannya, jodoh beliau dan Erika menjadi tidak berkat. Itulah menyebabkan punca rumah tangga mereka menjadi kelam-kabut. Beliau kemudian merenung botol arak di meja.
Beliau sendiri tidak sedar sejak bilakah beliau menjadi ketagih meminum arak. Beliau mencapai botol itu, lalu membuangnya ke dalam bakul sampah. Mungkin beliau perlu menukar cara hidup selepas ini.
Show 0 comments
Log in to join the conversation.
- No comments yet. Be the first.