Bab 7 : Keputusan SPM
Jari Manis · 4 min read
"Assalamualaikum!" Kedengaran suara memberi salam dari luar rumah.
"Waalaikumussalam." Hajah Kalsom bergegas menuju ke pintu rumah utama.
"Anak mak dah balik!" Hajah Kalsom sungguh gembira apabila melihat wajah anak bongsunya di hadapan rumah.
Dia meluru lari lalu memeluk Adira dengan penuh erat. Terasa rindu yang sungguh menebal setelah tidak berjumpa selama beberapa bulan. Ini kerana gadis itu tidak pernah meninggalkan dirinya semenjak kecil.
Walaupun dia yang menghalau Adira kerana kes khalwatnya suatu ketika dahulu, namun jauh di sudut hatinya terasa sungguh menyesal. Dia sebenarnya tidak mahu gadis itu meninggalkannya, namun dia buat semua itu bagi Adira belajar berdikari.
"Mak sihat? Dira rindu sangat dekat mak?" Soal Adira sebaik pelukan kedua-dua beranak itu berpisah.
"Mak baik-baik aje." Ketika itu lah matanya terpandang seorang lelaki dan seorang kanak-kanak keluar dari dalam kereta.
"Siapa tu?" Hajah Kalsom berbisik di telinga Adira.
"Tu boss Dira." Balas Adira.
"Kenapa boss Dira pula yang hantar Dira? Kenapa tak minta tolong kak Ami je yang hantar?" Soal Hajah Kalsom.
"Kak Ami busy lah mak. Dira tak minta pun boss Dira hantar, tapi dia yang beria-ria nak hantar." Jawab Adira. Hajah Kalsom kemudian menghampiri kedua-dua beranak itu.
"Encik, sila lah masuk dulu ke rumah makcik yang tak seberapa ni." Pelawa Hajah Kalsom.
Darius menyambut pelawaan itu lalu memegang tangan Afiyah dan membawa anak kecil itu masuk ke dalam rumah tersebut. Kedua-dua beranak itu hanya duduk di atas sofa, manakala Adira membawa beg pakaiannya ke dalam bilik.
"Minum lah dulu encik." Hajah kalsom muncul kembali di ruang tamu dengan membawa dulang berisi air oren di dalam jug.
"Terima kasih makcik sebab susah-susah kan diri." Ucap Darius lalu menyambut huluran gelas berisi air oren tersebut.
"Tak susah pun. Makcik nak ucap terima kasih dekat encik sebab dah bagi peluang dekat dua orang anak makcik kerja dengan encik." Ucap Hajah Kalsom pula.
"Ehh patutnya saya yang ucap terima kasih dekat makcik sebab ada anak-anak makcik tolong saya. Aminah bantu saya kurangkan beban di pejabat, Adira pula bantu saya kurangkan beban di rumah." Jelas Darius.
"Makcik nak minta maaflah kalau Dira ada susahkan encik selama dia berada di rumah encik." Pinta Hajah Kalsom.
"Ehh dia takde susahkan saya pun. Dia sangat rajin dan boleh diharap." Balas Darius.
"Berborak apa tu? Mengumpat Dira ye?" Tiba-tiba Adira memunculkan diri di ruang tamu.
"Mesti lah. Dah lah Dira temankan boss Dira ni, mak nak siapkan makanan dulu." Hajah Kalsom kemudian berlalu pergi meninggalkan ruang tamu dan menuju ke dapur.
"Encik berbual apa dengan mak saya tadi?" Soal Adira sebelum melabuhkan punggungnya di atas sofa.
"Takde apa, berbual kosong je. Awak nak stay kampung ni sampai bila?" Darius mengubah topik.
"Kalau saya nak minta cuti seminggu boleh tak?" Pinta Adira.
"Boleh tu boleh, tapi saya risau sebab takde orang jaga Eya kat rumah nanti." Ujar Darius lalu mengusap-usap rambut anaknya yang sedang duduk di sebelah.
"Eya nak tak duduk dengan akak dekat sini seminggu?" Adira menyoal anak kecil itu.
"Nak! Nak!" Riang kedengaran suara Afiyah menjawab persoalan itu.
"Eh tak payah lah, nanti habis semua benda kat rumah ni dirosakkan." Darius menolak cadangan tersebut.
"Alah bukan ada barang sangat pun kat rumah ni. Takpe lah, bagi Eya tinggal dengan saya dekat sini seminggu." Adira masih lagi mengharap.
"Kalau awak rasa tak menyusahkan dia tinggal sini, takpe lah." Darius akur dengan cadangan Adira.
"Papa taknak tinggal dekat sini sekali ke?" Soal Afiyah secara tiba-tiba.
"Tak boleh sayang, papa banyak kerja dekat office sana." Darius terpaksa menolak permintaan anaknya itu.
"Eya takut ke tinggal sini dengan akak tanpa papa? Janganlah risau, sekejap je kita tinggal dekat sini. Nanti kita balik KL semula naik bas nak?" Adira cuba menyedapkan hati anak kecil itu.
"Tak perlu naik bas, minggu depan saya datang ambil awak." Ujar Darius.
"Minta maaf sebab susahkan encik." Ucap Adira.
"Takde apa lah." Balas Darius.
Sudah lama rasanya Adira tidak melangkah kaki ke dalam sekolah tersebut. Rasanya hampir empat bulan juga kakinya tidak melangkah ke sekolah tersebut. Terasa sungguh nostalgia kerana dia menuntut ilmu di situ selama lima tahun.
Kelihatan segerombolan manusia sedang berkerumun di hadapan papan kenyataan. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang melihat keputusan peperiksaan SPM mereka. Tidak ketinggalan juga ialah Adira.
Dia mencari-cari namanya di papan kenyataan tersebut. Setelah seketika matanya mencari, akhirnya dia menemui jua namanya. Sebaris dengan namanya tertera keputusan SPMnya iaitu 2A, 6B, 1C.
Keputusan itu tidaklah memuaskan hatinya kerana dia merasakan dia mampu mendapatkan keputusan yang lebih baik. Namun apakan daya sudah terlambat untuk menyesal. Dia kemudian terus ke pejabat untuk mendapatkan slip peperiksaannya.
"Dira!" Kedengaran suatu suara memanggil Adira sebaik gadis itu keluar dari dalam pejabat.
"Ehh Rudi." Ujar Adira sebaik memalingkan wajahnya dan terlihat wajah kekasih hatinya itu.
"Dapat berapa result awak?" Soal Rudi sebaik menghampiri gadis itu.
"Dapat 2A je." Adira menarik wajah seraya kecewa.
"Ok lah tu. Saya takde A langsung. Hahaha..." Rudi tertawa akan dirinya.
"Dah tu awak nak buat apa lepas ni?" Soal Adira pula.
"Entahlah. Saya pergi cari kerja lah kot lepas ni. Awak pula?" Rudi pula menyoal.
"Saya ingat nak sambung belajar lah lepas ni." Balas Adira.
"Bagus lah tu. Macam mana kerja awak jadi pembantu rumah? Semenjak awak kerja dekat sana, jarang dah kita contact." Soal Rudi.
"Sorry lah awak, saya penat sangat kerja jadi pembantu rumah. Tu lah sebabnya saya tak larat nak balas mesej awak." Jelas Adira.
"Ye ke sebab penat? Ke awak dah tak sayang dekat saya? Awak dah ada boyfriend lain ke kat sana?" Rudi cuba meneka.
"Merepek lah awak ni, mana saya ada boyfriend lain. Dah lah, saya nak balik lah." Adira cuba beredar dari situ.
"Ehh janganlah balik dulu. Kita dah lama tak jumpa, apa kata kita pergi jalan-jalan dekat pekan dulu." Pelawa Rudi.
"Taknak lah. Afiyah dah tunggu saya dekat rumah tu. Saya nak kena balik cepat." Adira menolak pelawaan tersebut.
"Afiyah? Siapa tu?" Rudi berasa hairan.
"Anak majikan saya." Jawab Adira.
"Kenapa pula dia tunggu dekat rumah awak pula?" Rudi menjadi tidak mengerti.
"Saya bawa dia tinggal dengan saya sebab takde orang jaga dia dekat sana." Jelas Adira.
"Dah tu tak boleh ke kita lepak-lepak sekejap? Saya rindu dekat awak lah." Rudi masih mengharap.
"Nanti lah kalau saya free, saya bagitahu." Balas Adira.
Show 0 comments
Log in to join the conversation.
- No comments yet. Be the first.